BANGI: Kementerian Komunikasi bersedia untuk memberi kerjasama bagi menerbitkan naskhah mengenai Global Sumud Flotila dalam bentuk siri mini televisyen sebagai usaha memperluas penyampaian mesej kemanusiaan dan solidariti terhadap Palestin.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, inisiatif yang diterajui Datuk Seri Sani Arabi Abdul Alim bersama pasukan Sumud Nusantara merupakan usaha positif dalam mengetengahkan isu berkenaan kepada masyarakat.
Katanya, kementerian akan memberikan sokongan bagi memastikan naskhah tersebut dapat diterjemahkan ke dalam bentuk siri mini televisyen untuk ditayangkan selepas penerbitannya selesai.
“Saya amat menyokong usaha Datuk Sani dan pasukan yang akan menerbitkan satu program, satu siri TV yang diberi nama Sumut Protokol.
“Kita akan bekerjasama untuk pastikan naskah ini dapat diterjemahkan menjadi sebuah mini series dan akan ditayangkan insya-Allah setelah ia siap dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Makan Malam Sumud Nusantara, Global Sumud Congress 2026, di sini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kementerian bersama kepimpinan lain, termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan; Dr. Taufiq Johari dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, akan terus menyokong perancangan berkenaan.
Katanya, Kementerian Komunikasi turut bersedia membantu dari segi promosi dan wacana menerusi platform media sosial bagi memastikan mesej serta hasil penerbitan itu dapat disampaikan kepada masyarakat secara meluas.
“Kita juga mengharapkan apa-apa perancangan di pihak Sumut Nusantara dan Global Sumut Flotilla, kami sedia untuk membantu termasuk kalau kita teliti dari segi media sosial,” katanya.-UTUSAN









