KPT pantau kebolehpasaran graduan sehingga tiga tahun tamat pengajian

KPT pantau kebolehpasaran graduan sehingga tiga tahun tamat pengajian

ZAMBRY Kadir beramah mesra bersama pelajar pada majlis penutup Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFuture) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mempunyai sistem pemantauan bagi menilai status pekerjaan dan kebolehpasaran graduan sehingga tiga tahun selepas mereka menamatkan pengajian.

 

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir berkata, pemantauan berkenaan dilaksanakan menerusi sistem MyMOHES yang telah dibangunkan oleh kementerian bagi mengikuti perkembangan graduan selepas meninggalkan institusi pendidikan tinggi (IPT).

Memuatkan artikel berkaitan…

 

Menurutnya, sistem itu membolehkan kementerian menyemak kedudukan graduan, termasuk status pekerjaan serta perkembangan mereka dalam tempoh tiga tahun selepas tamat pengajian.

 

“Kita sebenarnya sudah mempunyai sistem di peringkat KPT untuk melihat dan memantau kebolehpasaran serta pekerjaan graduan dalam tempoh tiga tahun.

 

“Jadi, kita dapat melihat perkembangan mereka kerana sistem itu telah pun dibangunkan oleh KPT,” katanya pada sidang akhbar sempena program International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

 

Sebelum ini, Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mencadangkan Kementerian Pendidikan Tinggi memperkenalkan indikator khusus bagi mengukur peratusan graduan yang memperoleh pekerjaan dengan gaji bermaruah, dengan mengambil kira kelayakan, jenis pekerjaan dan kos kehidupan semasa.

 

Beliau turut mencadangkan pendapatan graduan dipantau selepas 12, 24 dan 36 bulan tamat pengajian bagi menilai perkembangan gaji serta mobiliti kerjaya mereka.

 

Tambah Zambry, kementerian sememangnya mempunyai mekanisme untuk mengikuti perkembangan graduan selepas tamat pengajian, khususnya dari aspek kebolehpasaran dan pekerjaan mereka.

 

Katanya, menerusi sistem sedia ada itu, kementerian sentiasa membuat semakan bagi mengetahui keberadaan graduan dan sejauh mana perkembangan yang dicapai selepas memasuki alam pekerjaan.

 

“Pemantauan tersebut membolehkan KPT memperoleh maklumat mengenai perkembangan graduan dalam tempoh tiga tahun selepas mereka meninggalkan IPT,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini