KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung cadangan untuk mengembalikan GST dalam Belanjawan Bayangan Kancil 2027 yang dibentangkan Parti Bersama selepas bekas Timbalan Presiden PKR itu pernah menentang pelaksanaan cukai itu.
Pengarah Strategi Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohd. Shafiq Iqram Abdullah berkata, pada Januari 2014, Rafizi pernah menyatakan GST tidak patut dilaksanakan sebelum pendapatan pekerja dan isi rumah meningkat.
Namun, katanya, kini GST pada kadar 5 peratus menjadi sebahagian daripada cadangan Belanjawan Bayangan Kancil.
“Perubahan pendekatan dasar tidak semestinya salah. Keadaan ekonomi boleh berubah dan seseorang boleh menilai semula pendirian berdasarkan bukti baharu. Namun, perubahan itu perlu disertai penjelasan yang munasabah.
“Apakah keadaan ekonomi yang berbeza hari ini? Apakah mekanisme perlindungan yang menjadikan cadangan GST ini lebih sesuai? Bagaimana kesannya terhadap kuasa beli rakyat akan dikawal?” katanya hari ini.
Beliau berkata, soalan ini wajar dijawab secara terbuka kerana cukai penggunaan mempunyai kesan yang perlu dinilai bersama struktur cukai, harga barang dan bentuk bantuan yang diberikan kepada isi rumah.
Katanya, perbahasan ini sepatutnya membuka ruang kepada penilaian dasar yang lebih matang, bukannya terhenti pada perbezaan pendirian politik.
Beliau berkata, kerajaan perlu dinilai berdasarkan hasil dasar dan pelaksanaannya, manakala pembangkang pula perlu membuktikan bahawa alternatif yang ditawarkan mempunyai asas pengiraan yang kukuh, sumber pembiayaan yang jelas dan mekanisme pelaksanaan yang boleh berfungsi dalam keadaan sebenar.
“Justeru, Parti Bersama wajar memperincikan pengiraan manfaat bersih isi rumah, andaian kesan GST, mekanisme pelarasan elaun bahan api serta asas pencapaian sasaran defisit yang dicadangkan.
“Rakyat berhak meneliti angka dan andaian tersebut sebelum membuat kesimpulan tentang siapa yang menawarkan dasar ekonomi lebih baik,” katanya.
Menurut beliau, ukuran sebenar sesuatu belanjawan ialah kemampuannya mengurus kewangan negara secara bertanggungjawab, melindungi kuasa beli rakyat dan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukannya.
Dalam soal belanjawan, katanya, angka yang menarik perhatian belum tentu menyelesaikan masalah.
“Setiap unjuran mesti disokong pengiraan yang telus, setiap janji mesti mempunyai sumber pembiayaan dan setiap dasar mesti dinilai berdasarkan kesannya terhadap kehidupan rakyat,” katanya. – UTUSAN











