PETALING JAYA: Sanofi memperluas skop operasi hab Kuala Lumpur daripada pusat perkhidmatan yang berfokuskan kewangan kepada hab pelbagai fungsi yang menyokong lebih 20 pasaran di Asia Pasifik dan Greater Gulf sepanjang 10 tahun.
Hab berkenaan kini merangkumi fungsi Sumber Manusia, Perubatan, Perolehan serta Pembuatan dan Bekalan, selain kewangan.
Ketua Hab Kuala Lumpur dan Chengdu bagi Asia Pasifik Sanofi, Trudy Tan berkata, perubahan skop operasi sepanjang sedekad lalu melibatkan pertambahan pasaran yang disokong serta kepelbagaian fungsi dan kerumitan kerja yang dilaksanakan dari Malaysia.
“Sepanjang 10 tahun lalu, Hab Sanofi Kuala Lumpur kami telah berkembang dari segi pasaran yang kami sokong, keupayaan yang kami sediakan serta kerumitan kerja yang dilaksanakan dari sini,” katanya di Exchange 106, Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Asia Tenggara dan India merangkap Ketua Organisasi Pelbagai Negara (MCO) Sanofi, Eric Mansion berkata, syarikat itu telah beroperasi dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia selama lebih 60 tahun.
Menurutnya, hab Kuala Lumpur menghubungkan tenaga kerja tempatan dengan pasukan serantau yang menjalankan operasi dalam bidang imunologi, penyakit jarang jumpa dan penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin.
“Hab Kuala Lumpur menghubungkan bakat Malaysia dengan pasukan di seluruh rantau ini supaya kami dapat memperluas impak dalam bidang imunologi, penyakit jarang jumpa dan penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin di seluruh Asia Tenggara,” katanya.
Katanya, perkembangan operasi itu turut melibatkan keperluan kemahiran yang bersesuaian dengan persekitaran kerja yang semakin digital.
Ketua Operasi Perniagaan Sanofi, Agnès Perré berkata, fungsi operasi perniagaan merangkumi kepakaran dan teknologi yang digunakan untuk menyokong operasi syarikat.
“Operasi perniagaan menghimpunkan kepakaran, teknologi dan keupayaan yang membantu Sanofi beroperasi dengan lebih pantas dan konsisten,” katanya.
Majlis perasmian tempat kerja baharu itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Perancis di Malaysia, Olivier Sigaud ketika Malaysia dan Perancis menghampiri ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik pada 2027.
Beliau berkata, perkembangan Sanofi di Malaysia turut berkait dengan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara.
“Perjalanan Sanofi menunjukkan nilai yang terhasil apabila pelaburan jangka panjang, kepakaran antarabangsa dan bakat Malaysia digabungkan untuk membangunkan keupayaan bagi masa hadapan,” katanya. – UTUSAN











