Kerajaan perlu pastikan persaingan adil, lindungi PMKS tempatan - Syed Saddiq

Kerajaan perlu pastikan persaingan adil, lindungi PMKS tempatan – Syed Saddiq

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menggunakan kuasa bagi memastikan persaingan adil bagi melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan daripada terus terhimpit dengan platform jualan luar negara yang menawarkan harga lebih rendah sehingga mengancam perniagaan mereka.

 

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, situasi itu mewujudkan tekanan ‘generasi sandwich’ apabila usahawan kecil berdepan persaingan daripada pengeluar luar negara, sekali gus  menyebabkan lebih banyak usahawan tempatan terpaksa menutup perniagaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

 

“Kita lihat kilang-kilang yang terletak di luar negara ini. Pertama, tidak membayar cukai seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di Malaysia. Mereka tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), tidak mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan tidak ada undang-undang gaji minimum.

 

“Kalau kita tanya persoalan yang sama, bolehkah usahawan muda di Malaysia ataupun kilang-kilang di Malaysia terus menjual kepada negara luar seperti apa yang mereka lakukan kepada kita?

 

“Jawapannya tidak boleh. Kerana kalau kita ingin menjual terus, kita perlu mendaftarkan syarikat itu mengikut undang-undang dan piawaian negara tersebut sebelum boleh menjual di sana. Kalau tidak, sekurang-kurangnya perlu ada usaha sama dengan syarikat ataupun usahawan di negara berkenaan.” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Katanya, ia berbeza di Malaysia yang dilihat begitu longgar apabila syarikat negara luar boleh menjalankan perniagaan mereka secara terus kepada pengguna di Malaysia.

 

“Kerajaan perlu menggunakan kuasa yang ada untuk memastikan bahawa medan persaingan itu adil supaya akhirnya we get good competition, bukannya persaingan yang akhirnya membunuh syarikat-syarikat kita kerana mereka boleh undercut the Malaysian market.

 

“Usahawan di Malaysia tidaklah meminta tongkat daripada kerajaan. Mereka tidak minta sistem persaingan ini ditutup terus. Tetapi mereka hanya mahukan keadilan supaya persaingan itu adalah persaingan yang adil.

 

“Saya risau kalau perkara ini diteruskan seperti contohnya platform Pinduoduo. Saya bukan kata kita patut haramkan, tetapi ia perlu diubah,” katanya.

 

Dalam masa sama, Syed Saddiq membangkitkan isu kenaikan caj platform digital seperti Shopee yang didakwanya berlaku secara mendadak tanpa pemakluman awal mencukupi kepada penjual.

 

Katanya, berdasarkan angka yang dikemukakannya, kadar komisen platform meningkat daripada sifar peratus pada peringkat awal sekitar 2021 hingga 2022 kepada 14.5 peratus ketika ini.

 

“Kalau dicantumkan segala caj ini, peningkatannya memang mencanak dengan tidak dimaklumkan dan dibuat pada minit-minit yang terakhir.

 

“Ini adalah situasi yang sangat tidak adil. Bayangkan usahawan-usahawan muda kita, di mana keuntungan margin pun sangat kecil, kini dibebani dengan persaingan yang tidak adil dengan kilang-kilang besar di luar. Pada masa yang sama, mereka dibebani dengan peningkatan kadar caj platform yang dinaikkan dengan mencanak tanpa apa-apa pemakluman awal.

 

“Ia menyebabkan mereka terpaksa gulung tikar dan sektor PMKS, usahawan-usahawan muda kita inilah yang sebelum ini banyak memberikan pekerjaan kepada rakyat Malaysia, membayar gaji, mencarum SOCSO (Perkeso) dan mencarum EPF (KWSP), akhirnya terpaksa gulung tikar. Akhirnya ekonomi Malaysia itu makin mengecil,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini