GEORGE TOWN : Enam lagi siren Sistem Amaran Awal Tsunami Nasional Malaysia (SAATNM) akan dinaik taraf kepada sistem Smart Digital Box (SDB) 4G dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan penyampaian amaran tsunami khususnya di Pulau Pinang.
Pegawai Meteorologi METMalaysia Pulau Pinang, Mazlan Ishak berkata, kerja-kerja penaiktarafan itu akan dibuat di enam lokasi berasingan iaitu di Pantai Miami, Jalan Gurney, Dewan Sri Pinang, Balai Polis Tanjung Tokong, Sungai Burung dan Sungai Pinang.
“Kita sudah ada empat siren yang menggunakan sistem teknologi SDB 4G ketika ini iaitu di Tanjung Bungah, Teluk Bahang, Batu Ferringhi dan Balik Pulau.
“Kini, enam lagi siren akan dinaik taraf dengan pelaksanaannya (pemasangan) dijangka dibuat selewat-lewatnya hujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya ketika ditemui semasa pengujian siren SAATNM di Masjid Terapung Tanjung Bungah di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, secara keseluruhannya, Pulau Pinang mempunyai 12 siren amaran tsunami termasuk dua siren yang terletak di kawasan Seberang Perai.
Sementara itu, beliau berkata, antara perbezaan utama yang terdapat pada sistem siren baharu itu ialah penggunaan pembesar suara yang mampu menyebarkan bunyi dalam lingkungan 360 darjah selain peningkatan pada sistem pemprosesan isyarat dan komunikasi.
Katanya, penambahbaikan tersebut membolehkan sistem beroperasi dengan lebih baik manakala jarak pendengaran siren pula boleh menjangkau sehingga kira-kira dua atau tiga kilometer (km) bergantung pada keadaan cuaca.
“Untuk sistem lama, pembesar suaranya hanya menghala ke satu arah sahaja manakala bagi sistem baharu pula, ia boleh menyebarkan bunyi lebih luas iaitu sehingga 360 darjah. Sistem pemprosesan dan komunikasinya juga dinaik taraf agar pengendalian isyarat amaran menjadi lebih baik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, pengujian siren akan dijalankan sebanyak dua kali setahun iaitu pada pertengahan dan hujung tahun bagi memastikan sistem berkenaan berfungsi dengan baik serta dapat menerima isyarat yang dihantar.
Tambah beliau, penduduk setempat juga akan dimaklumkan lebih awal mengenai sesi pengujian berkenaan menerusi hebahan radio serta saluran berkaitan bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan atau panik apabila siren dibunyikan.











