DHAKA: Beberapa saat selepas serangan Houthi menyasarkan Lapangan Terbang Riyadh, jemaah umrah Bangladesh, Nasrullah Badar sempat menghubungi keluarganya di Dhaka, namun tidak mampu mengeluarkan sepatah kata.
Sehari kemudian, abangnya menerima berita dia tidak terselamat dalam serangan itu.
Badar, 37, seorang guru dan imam, mengetuai sekumpulan 44 rakyat Bangladesh untuk menunaikan umrah. Mereka berlepas dari Dhaka pada pagi Sabtu dan menunggu selama dua jam di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid untuk menaiki penerbangan seterusnya ke Jeddah.
Ketika itu, pada awal petang, peluru berpandu Houthi membedil kawasan lapangan terbang berkenaan.
“Ketika serangan berlaku, mereka sedang bersiap untuk menaiki pesawat. Letupan berlaku betul-betul di sebelahnya, berdasarkan apa yang saya dengar daripada jemaah lain.
“Selepas letupan itu, dia menghubungi kami dua kali. Walaupun panggilan diterima, kami tidak dapat mendengar suaranya.
“Mungkin akibat kecederaan parah, dia tidak mampu mengeluarkan sepatah kata pun. Selepas itu, kami menelefonnya semula berkali-kali, tetapi panggilan tidak dijawab,” kata abangnya, Mohammad Ahsan Ullah Badar, kepada Arab News.
Menjelang petang, nombor telefon Nasrullah tidak lagi dapat dihubungi.
“Sepanjang sehari, kami tidak mendapat sebarang petunjuk tentang keberadaannya. Kami mencarinya di beberapa hospital dan merata-rata tempat, tetapi tidak menemui apa-apa.
“Sehari kemudian, pada Ahad pukul 4 petang (waktu tempatan), kami menerima berita sedih itu melalui Kedutaan Bangladesh di Arab Saudi,” kata abangnya.
Nasrullah ialah antara dua rakyat Bangladesh daripada keseluruhan 13 orang yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu pada Sabtu di ibu negara Arab Saudi itu.
Lebih 300 orang lagi cedera, termasuk 24 rakyat Bangladesh. Menurut Kedutaan Bangladesh di Riyadh, mereka terdiri daripada 11 pekerja migran dan 13 jemaah umrah yang masih menerima rawatan di hospital.
Nasrullah meninggalkan dua anak lelaki yang masih kecil dan seorang anak perempuan.
Ketika tiba di Riyadh, dia menghubungi isteri dan ibu bapanya.
“Ketika berbual dengan ayah kami, dia berkata, berharap dapat menunaikan umrah bagi pihak ayah. Dia juga meminta ibu kami mendoakannya.
“Adik lelaki saya seorang yang sangat baik dan berhati mulia. Seluruh penduduk kampung kami menangis dan terkejut dengan berita kematiannya yang terlalu awal.
“Sejak petang Ahad, orang ramai datang ke rumah kami untuk mengucapkan takziah. Mereka semua hanya mengatakan satu perkara, orang yang berhati mulia dan warak sepertinya bukan mudah untuk digantikan,” ujar Mohammad Ahsan.











