KUALA LUMPUR: Malaysia berdepan cabaran menguruskan pelarian apabila mereka melalui Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memasuki negara ini menggunakan pas sosial sebelum permohonan diputuskan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, permohonan yang dibuka secara dalam talian membolehkan individu dari negara bergolak seperti Yemen, Syria dan Afghanistan memohon status pelarian sebelum hadir ke Malaysia sementara menunggu keputusan.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan ada pemohon yang berulang kali hadir ke pejabat UNHCR di Jalan Bellamy bagi mendapatkan perkembangan permohonan masing-masing.
“Ya, sekarang ini pelarian daripada negara kita kerana ada UNHCR ini, dia membuka permohonan untuk menjadi pelarian ini, dia buka pendaftaran cara atas talian. Dia mungkin berada di Yemen, dia mungkin berada di Syria, dia mungkin berada di Afghanistan, atau mana-mana negaralah yang ada push factor.
“Tak kiralah pelarian apa pun, dia mohon. Belum pun UNHCR di Kuala Lumpur bagi keputusan terhadap permohonan, dia datang dulu sebagai pelancong, pas sosial.
“Kemudian tiap-tiap minggu dia akan berkumpul depan pejabat UNHCR di Jalan Bellamy, untuk tanya apa status permohonan kami. Itulah realitinya. Ya, kita ni bercakap ni tentang hiliran. Yang huluan itu adalah menjadi punca masalah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr. Radzi Jidin (Bersatu-Putrajaya) yang meminta penjelasan mengenai kaedah pendaftaran pelarian di bawah Program Dokumentasi Pelarian (DPP), termasuk sama ada data UNHCR akan digunakan dan disemak bagi mengesahkan status mereka.
Radzi turut membangkitkan langkah kerajaan bagi mengelakkan kewujudan sindiket pendaftaran pelarian, selain hala tuju pengurusan lebih 225,000 pelarian, termasuk kemungkinan menggunakan pendekatan penempatan terkawal seperti yang dilaksanakan ketika menangani pelarian Vietnam kira-kira 40 hingga 50 tahun lalu.
Tambah Saifuddin, kerajaan menetapkan Januari 2023 sebagai tarikh pemisah bagi memastikan Program Dokumentasi Pelarian (DPP) tidak menjadi faktor penarik (pull factor) kepada kemasukan pelarian baharu ke Malaysia.
Menurutnya, individu yang memasuki negara ini selepas tarikh berkenaan tidak akan dipertimbangkan untuk pendaftaran di bawah program itu, yang diumumkan pada Mac 2023.
Katanya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pengurusan kira-kira 225,000 pelarian yang direkodkan, meskipun maklumat terperinci mengenai identiti, lokasi, umur dan alamat mereka masih belum diketahui.
“Masalahnya, 225,000 ini kita cuma dapat angka. Kita tidak tahu nama mereka, mereka berada di mana, umur berapa, alamat pun kita tidak tahu. Jauh sekali tapisan keselamatan, kita tidak tahu langsung. Kita cuma tahu angka sahaja,” katanya.
Beliau berkata, proses pendaftaran DPP akan dimulakan dengan pelarian yang berada di depot imigresen sebelum diperluas kepada mereka yang berada di luar depot.
Menurutnya, usaha itu bukan perkara baharu kerana kerajaan sebelum ini telah memulakan proses pengumpulan data pelarian melalui sistem yang dibangunkan dengan kerjasama sebuah syarikat penyedia perkhidmatan.
“Hasil fasa pertama itu menyaksikan kira-kira 30,000 individu direkodkan dengan maklumat lengkap, termasuk nama, selain sebahagian daripada mereka sudah bekerja dan mempunyai majikan.
“Sekarang saya mewarisi 30,000 data yang ada lengkap nama. Sekarang kita perluaskan lagi untuk memastikan data kita itu boleh dipercayai,” katanya.
Saifuddin berkata, pangkalan data yang lengkap dan boleh dipercayai penting bagi membolehkan kerajaan merangka dasar awam yang lebih jelas, bersasar dan boleh diukur sebagai penyelesaian berterusan terhadap isu pelarian.-UTUSAN











