SEJAK kecil, anak jati Pulau Langkawi ini sudah biasa melihat bapanya mengurut orang kampung yang datang mendapatkan bantuan.
Ada yang terseliuh, tersalah urat, sakit badan malah mengalami kecederaan seperti patah tangan.
Perlahan-lahan, timbul minat dalam diri Jamilah Said, 37, untuk mempelajari urutan tradisional.
Namun, hasrat untuk berguru dengan bapanya tidak kesampaian apabila lelaki itu meninggal dunia.
Minatnya terhadap urutan tradisional itu terus dibawa sehingga usia 16 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti sekolah dan serius dalam bidang berkenaan.
Dia terlebih dahulu menimba pengalaman di spa milik bapa saudaranya sebelum berdikari tiga tahun kemudian.
Sejak itu, khidmat urutannya mula mendapat sambutan bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan, malah pelancong yang menginap di hotel terkemuka di pulau peranginan ini.
“Sebelum ini, saya cuma mengurut ahli keluarga secara suka-suka, mungkin bakat itu memang turun daripada ayah.
“Kalau sehari tidak mengurut, badan rasa lain macam, boleh jadi letih dan demam,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Berbekalkan pengalaman yang dimiliki, Jamilah memberanikan diri membuka perniagaan urutan kaki secara terbuka di Kuah sejak 10 tahun lalu.
Bagi membantu menguruskan perniagaan itu, dia turut melatih sembilan ahli keluarga termasuk tiga abang, selain sepupu dan anak saudara.
Langkah itu secara tidak langsung membolehkan kemahiran mengurut terus diwarisi dalam keluarganya.
“Saya pun tidak sangka abang-abang ada bakat mengurut kerana sebelum ini mereka tidak pernah menunjukkan minat.
“Bila saya buka kedai, mereka sedia membantu dan saya ajar sedikit demi sedikit teknik urutan.
“Anak saudara pun saya latih sejak kecil, sekurang-kurangnya mereka ada kemahiran dan boleh dapat duit poket untuk perbelanjaan sekolah,” katanya.
Malah, Jamilah turut membawa ahli keluarganya ke hotel untuk memberikan khidmat urutan apabila menerima tempahan.
Antara hotel yang menjadi lokasi tetap khidmat urutan mereka ialah Temple Tree Resort di Pantai Cenang.

Urut tradisional kekal pilihan
Walaupun terdapat pelbagai jenis urutan, kaedah tradisional Melayu masih menjadi pilihan, termasuk dalam kalangan pelancong antarabangsa.
Katanya, urutan berkenaan menggunakan tekanan pada bahagian tertentu, terutama kawasan yang terasa tegang selepas melakukan aktiviti atau duduk terlalu lama.
Penggunaan minyak serai pula menjadi antara elemen yang melengkapkan pengalaman urutan berkenaan, selain memberikan aroma menyegarkan.
“Urutan tradisional lebih kuat berbanding fusion kerana memfokuskan kepada bahagian otot yang tegang.
“Selain merehatkan badan, ia juga membantu melancarkan peredaran darah dan memberikan kelegaan kepada pelanggan yang mengalami masalah angin.
“Pelancong asing, termasuk dari Eropah, memang menggemarinya, bahkan ada yang datang semula kerana sudah biasa dengan pengalaman ini,” katanya.
Jamilah turut turun padang mengurut pelanggan sendiri, terutama apabila menerima tempahan yang memerlukan sentuhannya.
Katanya, teknik tangan yang agak kuat menjadi antara keistimewaan urutan yang dilakukannya.











