Jerebu: Institusi pendidikan di Rompin, Kuantan ditutup mulai esok - Utusan Malaysia

Jerebu: Institusi pendidikan di Rompin, Kuantan ditutup mulai esok

JEREBU di bandar Kuantan. Dari puncak Bukit Bayroute, kelihatan bandar ini kabur diselimuti asap tebal, menandakan cabaran besar terhadap kualiti udara dan kesejahteraan penduduk. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

​KUANTAN: Semua institusi pendidikan di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang di daerah Rompin dan Kuantan diarah tutup sementara bermula esok, berikutan keadaan jerebu dan peningkatan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di kawasan berkenaan.

​JPN Pahang dalam kenyataan memaklumkan, penutupan berkuat kuasa sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan demi keselamatan, kesihatan serta kebajikan murid, guru dan seluruh warga pendidikan.

​Menurut kenyataan itu, sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hendaklah dilaksanakan mengikut kaedah yang bersesuaian.

Memuatkan artikel berkaitan…

​”Pelaksanaan PdPR perlu mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.

​”Pembukaan semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Pahang setelah keadaan dan bacaan IPU berada pada tahap yang membolehkan premis beroperasi dengan selamat,” katanya di sini hari ini.

​JPN Pahang turut mengarahkan semua institusi pendidikan di kedua-dua daerah agar sentiasa memantau perkembangan bacaan IPU secara berterusan dan mematuhi arahan serta garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, pihak sekolah dan institusi berkaitan juga perlu mengawal sebarang aktiviti luar yang boleh mendedahkan murid serta warga pendidikan kepada persekitaran udara tidak sihat, selain mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi melindungi kesihatan mereka.

“JPN Pahang sentiasa mengutamakan keselamatan dan kebajikan seluruh warga pendidikan. Pemantauan berterusan akan dilaksanakan bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Rompin, PPD Kuantan serta agensi berkaitan bagi memastikan tindakan yang diambil bersesuaian dengan perkembangan semasa,” kata kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini