NEW DELHI: Pemimpin pembangkang dan wartawan mendakwa polis menggunakan tindakan keras dalam demonstrasi hujung minggu lalu, ketika pihak berkuasa memperketat kawalan keselamatan di ibu negara India pada 12 Oktober menjelang satu lagi perhimpunan membantah ketua pilihan raya.
Ribuan anggota keselamatan dikerahkan di kawasan tengah New Delhi untuk hari ketiga berturut-turut, manakala penghadang besi dipasang dan beberapa stesen metro utama ditutup menjelang perarakan anjuran pemimpin pembangkang, Rahul Gandhi.
Demonstrasi itu tercetus susulan dakwaan salah laku dalam proses semakan daftar pemilih di seluruh India, yang menurut pengkritik boleh memberi kelebihan kepada Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi.
Suruhanjaya Pilihan Raya India yang bertanggungjawab mengendalikan proses pengundian di negara paling ramai penduduk di dunia itu menafikan sebarang salah laku.
Namun, perhatian kini semakin tertumpu kepada tindakan polis susulan kekecohan sepanjang hujung minggu lalu apabila ribuan penunjuk perasaan, termasuk anggota gerakan Parti Janta Lipas (CJP) yang diterajui golongan muda, ditahan, menurut laporan media tempatan.
Kebanyakan mereka yang ditahan, termasuk tiga pemimpin tertinggi CJP, dibebaskan.
Tokoh pembangkang menuduh pihak berkuasa cuba menyekat suara bantahan melalui penahanan beramai-ramai.
Ahli Parlimen daripada Parti Komunis India (Marxis), John Brittas, mendakwa beliau dikasari, diseret dan diserang polis ketika demonstrasi pada 11 Oktober.
“Ini bukan sekadar serangan terhadap seorang ahli Parlimen, tetapi juga serangan terhadap kebebasan demokrasi dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Polis tidak menjawab soalan mengenai penahanan atau tindakan mereka ketika sidang media semalam.
Beberapa wartawan yang membuat liputan demonstrasi itu berkata, mereka turut ditahan meskipun mempamerkan kad akhbar dengan jelas.
Pertubuhan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) berkata, sekurang-kurangnya 16 wartawan ditahan sepanjang demonstrasi hujung minggu lalu, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai ‘tidak boleh diterima’.- AGENSI











