Ibu tunggal didakwa benarkan anak dianiayai secara seksual

Ibu tunggal didakwa benarkan anak dianiayai secara seksual

MAHKAMAH KUALA LUMPUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendedahkan anak perempuannya sehingga boleh menyebabkan mangsa dianiayai secara seksual.

Bagaimanapun, wanita berumur 32 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dr. Azrol Abdullah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pengurus acara dan mempunyai pemeliharaan terhadap anak perempuannya berusia 15 tahun didakwa telah mendedahkan mangsa yang mungkin menyebabkannya dianiayai dari segi seksual.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kediaman di Jalan Awan Besar, Taman Yarl di sini di antara 1 September hingga 5 Oktober lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara.

Bagaimanapun, peguam bela, Leo Yap yang mewakili tertuduh memohon ikat jamin yang rendah atas alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal, mempunyai tanggungan keluarga selain masalah kesihatan yang memerlukan kos bagi rawatan susulan.

“Dia bekerja dalam bidang pengurusan acara, jadi pendapatan adalah tidak tetap. Dia juga mempunyai tanggungan yang agak berat iaitu perbelanjaan harian bagi anak dia dan pinjaman bagi rumah serta kereta.

“Tertuduh telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan dan untuk makluman, tertuduh berjanji akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya,” kata peguam itu.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara beserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 3 Disember ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini