Belanjawan 2027: Waad memastikan tiada rakyat terpinggir

Belanjawan 2027: Waad memastikan tiada rakyat terpinggir

DALAM Belanjawan 2027 yang dibentang Anwar Ibrahim bukan sekadar tentang peruntukan wang tetapi juga tanggungjawab kerajaan untuk menjaga kebajikan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WAAD yang ditekankan dalam Belanjawan 2027 ialah janji yang mengikat rakyat dengan pemerintah melalui tanggungjawab bersama. 

Rakyat memberikan kepercayaan dan kesetiaan, manakala pemerintah perlu berlaku adil, menjaga kebajikan serta melaksanakan amanah. Hubungan ini menjadi asas kepada kepercayaan antara kedua-dua pihak.

Dalam sejarah Melayu, waad antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba menunjukkan rakyat perlu taat kepada pemerintah, manakala pemerintah bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kebajikan rakyat. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Prinsip ini masih relevan dalam hubungan antara kerajaan dengan rakyat pada hari ini.

Berdasarkan semangat tersebut, Belanjawan 2027 boleh dilihat sebagai usaha memastikan pembangunan ekonomi turut mengutamakan kesejahteraan masyarakat. 

Penyematan semula sosial dalam pasaran bermaksud kegiatan ekonomi perlu mengambil kira keperluan manusia, bukan sekadar mengejar keuntungan dan pertumbuhan.

Janji ini perlu dinilai melalui kehidupan harian rakyat, sama ada di rumah Program Residensi Rakyat (PRR), di bangsal penoreh getah atau di gerai kecil tepi jalan. Adakah kehidupan mereka semakin baik? Adakah anak-anak mempunyai peluang untuk menikmati kehidupan yang lebih baik daripada ibu bapa mereka? Atau masih ramai yang terbeban dengan kos sara hidup dan ketidaktentuan ekonomi dunia?

Terdapat tiga sebab waad penting dalam belanjawan. Pertama, belanjawan perlu menjadi komitmen kerajaan yang boleh dinilai oleh rakyat, bukan sekadar senarai peruntukan. 

Kedua, kerajaan mesti menyediakan peluang, manakala rakyat berusaha memanfaatkannya. 

Ketiga, tanggungjawab ini turut melibatkan generasi akan datang serta hubungan antara wilayah, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai sebahagian daripada Waad Nasional.

Namun, rakyat hanya mampu merebut peluang jika kemudahan dan bantuan benar-benar sampai ke desa, kawasan perumahan rakyat dan pedalaman. Jika pelaksanaan tidak berkesan, golongan yang memerlukan akan terus menanggung kesan kelemahan dasar.

Belanjawan 2027 yang bertemakan Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi memperuntukkan RM510 bilion. Sebanyak RM3.3 bilion disediakan untuk prasarana asas desa, termasuk RM2.3 bilion bagi jalan desa, manakala Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menerima RM445 juta. Peruntukan ini penting untuk meningkatkan kemudahan asas dan mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan.

Walaupun krisis Asia Barat meningkatkan kos subsidi bahan api sehingga RM40 bilion, defisit negara diunjurkan turun kepada 3.3 peratus pada 2027, manakala hutang negara diunjurkan pada 63.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

Kerajaan perlu mengimbangi usaha membantu rakyat dengan keperluan memastikan kewangan negara kekal mampan pada masa hadapan.

TANGGUNGJAWAB SOSIAL KERAJAAN

Kos sara hidup menjadi antara perkara utama yang memerlukan perhatian. Golongan pertengahan di bandar mungkin kelihatan selesa tetapi ramai sebenarnya menghadapi tekanan kewangan. 

Gaji yang diterima pada hujung bulan boleh habis sebelum pertengahan bulan akibat perbelanjaan harian yang tinggi. 

Mereka juga sering dianggap terlalu berada untuk menerima bantuan, sedangkan pendapatan tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan keluarga. Ada pencari nafkah yang terpaksa melakukan dua atau tiga pekerjaan untuk menampung perbelanjaan.

Belanjawan ini berusaha mengurangkan beban tersebut melalui tiga pendekatan. Pertama, bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM16 bilion. 

Kedua, perbelanjaan harian cuba dikurangkan melalui Jualan Rahmah dan perlindungan bil elektrik.

Ketiga, langkah percukaian melibatkan kenaikan had pelepasan cukai individu kepada RM12,000, penurunan kadar cukai sebanyak satu mata peratusan serta kadar 30 peratus bagi pendapatan melebihi RM1 juta.

Langkah ini boleh membantu mengurangkan tekanan kewangan tetapi bantuan sahaja tidak menjamin harga barang menjadi lebih rendah dalam jangka panjang. 

Keberkesanannya turut bergantung pada ketepatan data, cara bantuan disalurkan dan kemudahan sosial yang tersedia.

Cabaran besar ialah memastikan pekerja tidak formal dan golongan M40 yang mengalami kesempitan hidup tidak tercicir daripada bantuan.

Dalam hal ini, imam, ketua kampung, guru, jiran, Rukun Tetangga dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh membantu mengenal pasti keluarga yang memerlukan perhatian. Program Komuniti Angkat Madani di PRR juga boleh mengukuhkan kerjasama antara masyarakat dengan kerajaan.

Usaha ini selari dengan gagasan Karl Polanyi dalam The Great Transformation (1944), yang menjelaskan ekonomi berkait rapat dengan kehidupan sosial, budaya dan nilai masyarakat. 

Apabila tenaga kerja, tanah dan wang hanya dianggap sebagai barang dagangan, menyebabkan kepentingan manusia mudah diketepikan. Oleh itu, pembangunan ekonomi perlu bergerak seiring dengan perlindungan sosial.

Bantuan kewangan juga perlu disertai usaha meningkatkan pendapatan. Pampasan pekerja yang hanya merangkumi 33.9 peratus daripada KDNK menunjukkan pentingnya perhatian terhadap bahagian hasil ekonomi yang diterima oleh pekerja. 

Belanjawan ini menaikkan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027, menetapkan RM2,500 bagi pekerjaan separa mahir dan graduan, serta menyasarkan gaji sara hidup RM3,400 di syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Pada masa sama, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan di bawah RM50 juta diberikan pengecualian sementara daripada kadar baharu. 

Pekerja gig turut memerlukan perlindungan kerana mereka bekerja dari awal pagi hingga lewat malam tanpa jaminan seperti pekerja tetap. Perlindungan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pendapatan minimum penting untuk mengurangkan ketidakpastian yang mereka hadapi.

Isu pendapatan turut mempengaruhi keyakinan terhadap pendidikan. Apabila graduan menerima gaji yang hampir sama dengan pekerja tidak mahir, kepercayaan pendidikan mampu meningkatkan taraf hidup boleh terhakis. Keadaan ini mendorong sebahagian anak muda mencari peluang di bandar atau luar negara. 

Oleh itu, keberkesanan dasar perlu dinilai berdasarkan peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan yang benar-benar dirasai.

Ekonomi keluarga, pendidikan dan kesihatan pula merupakan tiga asas penting untuk meningkatkan taraf hidup. Keluarga memerlukan pendapatan yang mencukupi, sekolah yang menyediakan peluang pembelajaran dan hospital yang mampu memberikan rawatan. 

Jika salah satu daripadanya lemah, usaha keluar daripada kemiskinan menjadi lebih sukar.

Peruntukan hampir RM69 bilion kepada Kementerian Pendidikan (KPM) serta tawaran jawatan tetap kepada lebih 9,000 doktor kontrak menunjukkan perhatian terhadap pendidikan dan kesihatan. 

Namun, peruntukan kewangan perlu disusuli perkhidmatan yang berkesan dan mudah diakses. 

Malaysia juga sedang menuju status negara menua, menjadikan keperluan penjagaan warga emas semakin penting agar keluarga tidak menanggung beban tersebut sendirian.

Kejayaan Belanjawan 2027 diukur bukan sahaja dalam pertumbuhan KDNK semata-mata tetapi perlu merangkumi perubahan pendapatan, kos sara hidup, mutu perkhidmatan awam dan kemampuan negara mengekalkan kewangan yang sihat. 

Mobiliti sosial antara generasi, kepercayaan terhadap institusi serta penglibatan masyarakat juga wajar diberi perhatian kerana angka pertumbuhan ekonomi sahaja tidak menunjukkan siapa yang masih tercicir.

Antara risiko yang perlu ditangani ialah perubahan harga minyak akibat ketegangan geopolitik, tahap pematuhan sektor swasta dan kelemahan tadbir urus. Selain itu, terdapat jurang antara dasar yang dirancang di Putrajaya dengan kehidupan sebenar rakyat di desa, PRR dan rumah panjang. 

Kerenah birokrasi serta campur tangan orang tengah boleh melambatkan penyaluran bantuan dan menyebabkan matlamat dasar tidak tercapai.

Oleh itu, waad sebagai janji antara kerajaan dengan rakyat hanya bermakna apabila masyarakat bukan sekadar menerima bantuan tetapi turut diberi ruang untuk menyuarakan keperluan dan mempengaruhi keputusan. 

Peranan mereka perlu dihargai melalui penglibatan dalam merancang, memantau dan menilai pelaksanaan dasar. Kerajaan pula perlu memastikan sistem ekonomi dan kemudahan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat. –UTUSAN

 

DR. Muhamad Azwan Abd. Rahman ialah Felo Penyelidik dan Ketua Jaminan Kualiti di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini