Kerajaan mahu kurangkan import, perbanyak pengeluaran tempatan

Kerajaan mahu kurangkan import, perbanyak pengeluaran tempatan

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengeluar tempatan perlu meningkatkan keupayaan menghasilkan bahan mentah, komponen dan produk separuh siap yang selama ini diimport bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan luar serta meningkatkan lebihan dagangan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting bagi membolehkan lebih banyak keperluan industri dipenuhi oleh syarikat tempatan, sekali gus mengurangkan nilai import negara.

Katanya, sektor elektrik dan elektronik (E&E) mencatatkan eksport RM712 bilion pada 2025 berbanding import RM567 bilion, sekali gus merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM145 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sebaliknya, jellas Johari lagi, sektor bukan E&E mencatatkan lebihan dagangan hanya RM12 bilion, dengan eksport RM897 bilion berbanding import RM885 bilion.

“Sebab itu dalam strategi kita ke hadapan, di samping kita mengembangkan non-eksport E&E ini, kita juga nak menekankan bagaimana penglibatan syarikat-syarikat kita dalam negara E&E kita yang mana produk-produk raw material ataupun semi-finished product yang kita import untuk menghasilkan eksport ini, kita nak lihat secara khusus bahawa dia mestilah melibatkan production yang keluar dalam negara kita.

“Kita tidak boleh lagi sewenang-wenangnya beri import ikut jalan senang. Jadi kita nak tengok kita akan lihat mana-mana sektor yang memerlukan penekanan kerajaan untuk menghasilkan produk-produk ini, jadi kita boleh kurangkan import,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) tentang peratusan nilai tambah domestik sebenar dalam eksport E&E negara setelah mengambil kira komponen dan teknologi yang diimport, dan sasaran kementerian untuk meningkatkan peratus tersebut menjelang 2030.

Dalam sektor E&E, jelas Johari lagi, kerajaan turut mahu meningkatkan penglibatan syarikat tempatan dalam industri semikonduktor, khususnya dengan beralih daripada aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan biasa kepada pembungkusan termaju (advanced packaging).

Katanya, usaha itu penting bagi membolehkan syarikat Malaysia menguasai aktiviti bernilai tambah lebih tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor global.

Dalam hal ini, katanya lagi, kerajaan turut memberi perhatian kepada pembangunan keupayaan syarikat dalam bidang berkenaan, termasuk melalui Malaysian Advanced Packaging Consortium.

“Kita mahu mereka mengambil inisiatif untuk mengembangkan perniagaan dan, apabila berjaya, turut melibatkan syarikat hiliran tempatan bagi memperluas sumbangan mereka dalam industri berkenaan.” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini