KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) meningkatkan elaun pos basik jururawat daripada RM100 kepada RM200 sebulan sebagai usaha memperkukuh kebajikan dan mengekalkan tenaga kejururawatan dalam perkhidmatan awam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kementerian memberi tumpuan kepada dua pendekatan utama, iaitu mempercepat pengambilan jururawat baharu dan memperkukuh pengekalan jururawat sedia ada.
“Keutamaan KKM adalah untuk memastikan perkhidmatan kejururawatan awam kekal kompetitif, kebajikan mereka terpelihara dan prospek kerjaya mereka terus dibangunkan serta diperkasakan,” katanya selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Inisiatif Kesihatan Hati Kebangsaan 2026–2030 di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata, usaha itu turut merangkumi penambahbaikan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta pemberian insentif dan elaun mengikut kelayakan.
Selain itu, KKM mengekalkan waktu bekerja selama 42 jam seminggu bagi jururawat yang bertugas secara syif.
Menurutnya, kementerian turut memperluas peluang latihan dan kenaikan pangkat bagi meningkatkan prospek kerjaya jururawat dalam perkhidmatan awam.
Fleksibiliti penempatan juga ditambah baik menerusi kemudahan pertukaran secara Suka Sama Suka, yang membolehkan jururawat memohon pertukaran berdasarkan persetujuan bersama.
“KKM turut berusaha mempercepat proses pengambilan bagi mengisi kekosongan jawatan, selain memastikan kebajikan dan prospek kerjaya jururawat terus diberi perhatian bagi mengekalkan tenaga kerja dalam sektor kesihatan,” katanya.-UTUSAN











