Kejayaan Belanjawan 2027 bukan diukur pada angka tetapi apa manfaat sebenar rakyat dapat 

Kejayaan Belanjawan 2027 bukan diukur pada angka tetapi apa manfaat sebenar rakyat dapat 

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Keutamaan Belanjawan 2027 perlu diberikan kepada usaha meningkatkan pendapatan, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti dan meringankan kos sara hidup rakyat, bukannya dinilai berdasarkan jumlah peruntukan yang besar semata-mata.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Belanjawan 2027 berjumlah RM510 bilion memperlihat komitmen perbelanjaan yang besar, namun kejayaan sebenar perlu diukur berdasarkan manfaat yang dapat dirasai rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman berkata, disiplin fiskal dan kecekapan perbelanjaan perlu terus diberikan perhatian bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal mampan dalam jangka panjang.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, daripada RM459.8 bilion perbelanjaan Persekutuan, sebanyak RM376.8 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM83 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

“Caj perkhidmatan hutang yang mencecah RM61 bilion turut menuntut pengurusan kewangan negara yang lebih berdisiplin bagi menjamin kemampuan kerajaan memenuhi komitmen kewangannya pada masa hadapan.

“Disiplin fiskal dan kecekapan perbelanjaan perlu terus diperkukuh bagi menjamin kemampuan kewangan negara untuk jangka panjang,” katanya hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, baki RM50.2 bilion yang melibatkan pelaburan entiti berkaitan kerajaan dan kerjasama awam-swasta juga perlu dipantau dengan teliti supaya manfaat ekonomi serta komitmen kewangannya dapat dinilai secara telus.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) selain langkah kerajaan meningkatkan pendapatan pekerja.

Bagaimanapun, katanya, keutamaan jangka panjang perlu diberikan kepada usaha meningkatkan kuasa beli rakyat, menyediakan peluang pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan dan kemahiran serta memperkukuh perusahaan tempatan.

Menurut Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat secara berterusan.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti Belanjawan 2027 secara bertanggungjawab di Parlimen dengan menyokong langkah yang membawa kebaikan kepada rakyat selain mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap perkara yang masih memerlukan perhatian.

“Mana yang baik kita sokong, mana yang perlu ditambah baik kita kemukakan cadangan. Pada akhirnya, kejayaan belanjawan bukan diukur pada besarnya angka yang diumumkan, tetapi pada manfaat sebenar yang dapat dirasai oleh rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini