Penubuhan RCI tidak jamin LCS siap segera - Khaled Nordin - Utusan Malaysia

Penubuhan RCI tidak jamin LCS siap segera – Khaled Nordin

Mohamed Khaled Nordin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kapal tempur pesisir (LCS) bukan jaminan kapal-kapal berkenaan akan dapat disiapkan dengan segera, setelah berdepan kelewatan.

Sebaliknya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, syarikat pembuat kapal berkenaan perlu memberi komitmen dengan menyegerakan pembinaannya agar tiada lagi kelewatan.

“Mantan Panglima Tentera Laut yang menjadi Pengerusi Boustead Naval Shipyard sudah dihadapkan di mahkamah, sudah didakwa. Jadi soal kapal LCS siap atau tak bukan bergantung kepada RCI, itu soal lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebab itu kita minta supaya pembuat kapal itu sekarang menyegerakan dan memastikan tiada lagi kelewatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar sempena Program Tuaian Pertama Halia KayTi JanaVeteran dan Pelancaran JanaKomuniti di Felda Air Tawar 3, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan segelintir pihak agar kerajaan menubuhkan RCI untuk menyiasat isu kelewatan LCS yang telah berlarutan beberapa tahun.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut memberitahu, pihaknya akan memastikan LCS 1 yang akan diterima tahun depan mempunyai kelengkapan penuh.

“Kelengkapan penuh maksud saya dengan peluru berpandu permukaan ke permukaan. Sekarang ini kapal tu dah ada peluru berpandu permukaan ke udara, permukaan ke kapal selam, dan sistem untuk ‘jammer’. Yang kita tak ada peluru permukaan ke permukaan,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu Kementerian Pertahanan sedang berunding dengan beberapa negara bagi menggantikan perolehan peluru berpandu yang gagal dibekal syarikat Norway sebelum ini.

Mengulas tentang Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin, Mohamed Khaled memberitahu, Kementerian Pertahanan merupakan kementerian keempat yang menerima peruntukan besar, tahun depan.

“Kita akan pastikan semua perancangan yang telah diluluskan itu dapat dilaksanakan dengan baik. Antaranya, kita mendapat peruntukan penyelenggaraan rumah-rumah anggota. Kalau dahulu RM400 juta, tahun depan kita akan dapat RM500 juta.

“Kita berterima kasih kerana peruntukan untuk menjaga kebajikan veteran yang telah menyumbang kepada keselamatan pertahanan negara. Ini penghargaan kepada mereka, jumlah yang diterima lebih sedikit berbanding dahulu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini