PETALING JAYA: Hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir dalam pelbagai bidang terus diperkukuh menerusi mesyuarat Suruhanjaya Bersama yang dijadualkan pada suku pertama tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertemuan itu yang dipersetujui oleh menteri luar kedua-dua negara, akan menyediakan platform untuk menterjemahkan hubungan dua hala yang semakin berkembang kepada peluang ekonomi yang lebih luas.
Katanya, Malaysia dan Mesir akan menumpukan usaha untuk memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan, meningkatkan kesalinghubungan penerbangan serta meneroka bidang baharu ekonomi pada mesyuarat tersebut.
Beliau berkata, perdagangan dua hala antara kedua-dua negara meningkat sebanyak 74.7 peratus pada tahun ini, namun pertumbuhan itu bermula daripada asas yang rendah, sekali gus memberikan ruang yang luas untuk pengembangan selanjutnya.
“Kita mencapai peningkatan luar biasa ini pada tahun ini, (perdagangan) melonjak kepada 74.7 peratus, namun ia bermula daripada asas yang sangat, sangat rendah,” katanya pada sidang media bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, di sini semalam.
Sidang media itu diadakan bersempena lawatan negara dua hari El-Sisi ke Malaysia.
Mengenai potensi sektor farmaseutikal, Anwar berkata, Malaysia sedang meneliti negara ekonomi pesat membangun, termasuk anggota BRICS, sebagai sumber alternatif bekalan ubat-ubatan, dengan Mesir antara negara yang berpotensi memenuhi keperluan farmaseutikal negara.
Selain kerjasama ekonomi, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada El-Sisi atas bantuan Mesir mempermudah penyaluran bantuan kemanusiaan Malaysia kepada rakyat Palestin.
Katanya, sokongan itu termasuk membantu membawa mangsa yang cedera dari Gaza ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan perubatan, dengan penyelarasan dilakukan melalui pejabat Presiden Mesir serta risikan ketenteraan negara berkenaan.
Anwar berkata, walaupun sumbangan Malaysia lebih kecil berbanding usaha kemanusiaan Mesir, kerjasama negara itu penting bagi membolehkan bantuan disampaikan kepada rakyat Palestin.
“Anda telah banyak membantu rakyat Palestin, tetapi kami juga berusaha membantu dan kami mampu melakukannya dengan bantuan anda serta pejabat anda,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Malaysia dan Mesir berhasrat memperluas kerjasama pendidikan kepada bidang kejuruteraan, perubatan, elektrik dan elektronik (E&E), teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).
Perdana Menteri berkata, kerjasama kedua-dua negara perlu merangkumi pelbagai bidang pengajian bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kepakaran teknikal dan profesional.
Menurutnya, hubungan pendidikan Malaysia-Mesir yang terjalin sekian lama perlu dikembangkan melangkaui pengajian Islam.
“Pendidikan perlu merangkumi bidang pengajian yang lain,” katanya. – UTUSAN











