Kuasa beli rakyat ukuran kejayaan Belanjawan 2027

Kuasa beli rakyat ukuran kejayaan Belanjawan 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan Belanjawan 2027 perlu diukur berdasarkan peningkatan kuasa beli rakyat, peluang pekerjaan berkualiti dan kehidupan isi rumah yang lebih selesa, selain pertumbuhan ekonomi serta jumlah peruntukan diumumkan kerajaan.

Pakar ekonomi, Prof. Emeritus Datuk Dr. Barjoyai Bardai berkata, belanjawan itu berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi dan meringankan beban kos sara hidup, namun keberkesanannya bergantung kepada manfaat yang benar-benar diterima rakyat.

Katanya, peruntukan kerajaan perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan sebenar, peluang pekerjaan berkualiti, produktiviti perniagaan dan pengurangan kos kehidupan harian.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ukuran sebenar kejayaan Belanjawan 2027 bukan sekadar sama ada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus berkembang, tetapi sama ada pertumbuhan itu meningkatkan kuasa beli rakyat, memperluas peluang pekerjaan berkualiti dan membolehkan lebih banyak keluarga menikmati kehidupan yang lebih selesa.

“Pertumbuhan perlu dirasai dalam kehidupan harian rakyat, bukan hanya tercatat dalam statistik ekonomi negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Barjoyai berkata, peningkatan perbelanjaan pembangunan, bantuan kepada isi rumah dan sokongan terhadap pelaburan boleh membantu mengekalkan permintaan domestik serta merangsang aktiviti perniagaan.

Bagaimanapun katanya, kesan tersebut bergantung kepada kecekapan pelaksanaan projek, penggunaan barangan dan perkhidmatan tempatan dalam perolehan kerajaan serta keupayaan perusahaan tempatan menyertai rantaian bekalan.

“Jika perbelanjaan banyak mengalir kepada barangan import atau projek yang kurang produktif, kesan penggandanya terhadap ekonomi domestik mungkin lebih kecil.

“Oleh itu, kerajaan perlu memberikan perhatian kepada kualiti perbelanjaan, bukannya sekadar meningkatkan jumlah peruntukan,” katanya.

Mengulas mengenai kos sara hidup, beliau berkata, bantuan kepada isi rumah dapat memberikan ruang tambahan kepada golongan berpendapatan rendah untuk mengurus perbelanjaan bulanan, di samping menyokong perniagaan tempatan.

Namun katanya, bantuan tunai tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian menyeluruh kerana nilainya akan berkurangan sekiranya harga makanan, sewa rumah, pengangkutan dan perkhidmatan asas terus meningkat.

“Penyelesaian jangka panjang memerlukan peningkatan pendapatan, bekalan rumah mampu milik, sistem pengangkutan yang cekap, persaingan yang sihat dan pengurangan kos rantaian bekalan,” katanya.

Dalam pada itu, Barjoyai berkata, kenaikan gaji minimum berpotensi meningkatkan kuasa beli pekerja, tetapi perlu disokong peningkatan produktiviti bagi membantu majikan khususnya perusahaan mikro dan kecil menampung pertambahan kos operasi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini