BANGI: Sebarang usaha mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim akan dipastikan tidak berlaku sekiranya dakwaan mengenai perkara tersebut benar.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini pihaknya tidak mendengar bahawa perkara itu akan dilakukan.
“Saya tidak mendengar perkara itu akan dilakukan. Jika benar ada pun, saya akan menentukan supaya ia tidak berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen Huffaz Nusantara Permata Al-Quran Kali ke-10 di sini hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias menafikan pihaknya mempunyai perancangan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Ismail pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Jalaluddin turut menegaskan dakwaan bahawa beliau akan mengemukakan usul berkenaan adalah tidak benar.
Penafian itu menyusuli laporan media yang memetik sumber mendakwa UMNO Negeri Sembilan sedang mempertimbangkan usul tersebut, dengan keputusan bergantung kepada kelulusan kepimpinan pusat parti.
Sidang DUN Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada 26 November selepas ditangguhkan daripada 16 Oktober bagi menyelaraskannya dengan pembentangan Belanjawan negeri bagi 2027 pada hari berikutnya. – UTUSAN











