Remaja tempuh perjalanan 2,000km tunai impian datuk

Remaja tempuh perjalanan 2,000km tunai impian datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Seorang remaja Thailand meraih pujian di media sosial selepas membawa datuknya menempuh perjalanan kira-kira 2,000 kilometer menggunakan kereta api dan bas untuk mengunjungi Singapura buat kali pertama.

Remaja berusia 16 tahun yang dikenali sebagai Queue itu berkongsi video perjalanan berkenaan menerusi akaun Instagram miliknya, kollawat_2626.

Dalam kapsyen video itu, Queue berkata dia membawa datuknya mengembara meskipun mereka bukan daripada keluarga berada.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai remaja lelaki berusia 16 tahun daripada keluarga yang bukan berada, saya membawa datuk menaiki kereta api dalam perjalanan sejauh 2,000 kilometer ke Singapura buat kali pertama,” tulisnya.

Katanya, rakaman itu dikongsikan bagi mengabadikan kenangan istimewa bersama datuknya.

Video berkenaan memaparkan mereka mengunjungi Merlion, antara tarikan ikonik Singapura, termasuk ketika datuknya bergambar di hadapan mercu tanda berkenaan.

Dalam video itu, Queue kedengaran meminta datuknya supaya berkelakuan seperti biasa ketika dirakam bagi mengabadikan detik berkenaan.

Hantaran itu meraih lebih 760,000 tanda suka, dengan ramai pengguna memuji usaha Queue merealisasikan perjalanan berkenaan dan membantu datuknya memenuhi impian.

Sesetengah pengguna turut mencadangkan Queue membuka saluran YouTube, sambil menyatakan kesediaan untuk menyokongnya dan berharap dapat melihat lebih banyak perjalanan bersama datuknya.

Queue menjelaskan tidak menyangka video itu akan tular kerana pada awalnya hanya mahu mengabadikan kenangan manis bersama datuknya.

Menerusi ruangan komen, Queue turut berkongsi butiran perjalanan mereka serta cara menjimatkan kos.

Beliau berkata, mereka menaiki kereta api kelas tiga, iaitu kelas paling murah, dari wilayah Nakhon Pathom ke daerah Sungai Kolok di wilayah Narathiwat.

Mereka kemudian memasuki Malaysia sebelum menaiki bas ke Stesen Kereta Api Pasir Mas. Dari situ, mereka membeli tiket kereta api ke Johor Bahru dengan tambang kira-kira 390 baht (RM50) seorang, sebelum menaiki bas merentasi sempadan ke Woodlands, Singapura.

Tambang bas itu dilaporkan sekitar 50 baht (RM6) seorang. Mereka tidak bermalam di Singapura, sebaliknya kembali ke Johor Bahru bagi menjimatkan perbelanjaan, dengan kos penginapan kira-kira 2,000 baht (RM250) semalam.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini