BRASILIA: Pendakwa raya Brazil memfailkan saman terhadap anak syarikat gergasi minyak Shell di negara itu, menuntut pampasan AS$108 juta (RM441.8 juta) berhubung kejadian banjir maut pada 2024.
Saman itu yang disifatkan sebagai belum pernah berlaku sebelum ini, difailkan pada Jumaat susulan banjir besar di selatan Brazil pada April dan Mei tahun berkenaan yang mengorbankan hampir 200 orang serta menyebabkan kira-kira 500,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
Bencana itu turut mengakibatkan kerosakan besar akibat hujan lebat yang mencetuskan banjir bersejarah di wilayah berkenaan.
Menurut dokumen mahkamah, Shell perlu bertanggungjawab berdasarkan sumbangannya terhadap pemanasan global, yang dianggarkan menyumbang dua peratus daripada keseluruhan pelepasan gas rumah hijau global sepanjang sejarah.
Pendakwa raya berkata, tindakan sivil itu bertujuan memastikan syarikat berkenaan bertanggungjawab terhadap kesan alam sekitar dan iklim, termasuk kerugian material serta bukan material akibat cuaca ekstrem yang melanda negeri Rio Grande do Sul.
Mereka turut mendakwa gergasi tenaga Britain itu perlu dipertanggungjawabkan atas pelepasan gas rumah hijau daripada aktiviti penerokaan, pengeluaran dan penjualan bahan api fosil, termasuk pelepasan pada masa lalu dan masa kini.
Tuntutan pampasan AS$108 juta itu merangkumi ganti rugi bagi kerugian material dan bukan material akibat bencana berkenaan.
Pemfailan saman berkaitan perubahan iklim oleh pendakwa raya Brazil dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Instituto Preservar, menandakan fasa baharu dalam perjuangan global melalui mahkamah terhadap syarikat gergasi minyak.
“Ini kali pertama pendakwa raya awam di sesebuah negara menyaman syarikat minyak utama berhubung bencana iklim,” kata Pengarah Litigasi Iklim Global di Sabin Center for Climate Change Law, Maria Antonia Tigre, kepada AFP.
Shell juga berdepan saman di United Kingdom (UK) yang difailkan mangsa taufan di Filipina.











