PETALING JAYA: Peruntukan perolehan kerajaan sebanyak RM7.5 bilion kepada kontraktor Bumiputera G1 hingga G4 dalam Belanjawan 2027 dijangka memperluas peluang perniagaan dan mengukuhkan penyertaan syarikat bumiputera dalam rantaian nilai ekonomi negara.
Peningkatan daripada RM4 bilion itu merupakan antara langkah yang disambut baik oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) bagi memperkukuh pelaksanaan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, Belanjawan 2027 mencerminkan peralihan daripada usaha meningkatkan penyertaan bumiputera kepada pembinaan syarikat yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan berupaya berkembang ke tahap lebih tinggi.
Katanya, peruntukan pembiayaan sehingga RM1 bilion melalui TERAJU turut membantu memperluas akses syarikat Bumiputera kepada modal bagi meningkatkan kapasiti, memperkukuh daya saing serta menembusi pasaran baharu.
“Kami melihat Belanjawan 2027 sebagai pengukuhan kepada pelaksanaan PuTERA35, khususnya dalam memastikan peluang yang diwujudkan diterjemahkan kepada pertumbuhan sebenar syarikat bumiputera.
“Fokus bukan hanya kepada akses kepada pembiayaan dan perolehan, tetapi juga kepada pembinaan kapasiti, inovasi, peluasan pasaran dan peningkatan skala perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, TERAJU turut menyambut baik sasaran RM58 bilion nilai perolehan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) daripada syarikat bumiputera.
“Usaha memperbaharui garis panduan perolehan GLC dengan mengambil kira pertumbuhan syarikat, inovasi dan keupayaan menembusi pasaran baharu juga dilihat berpotensi memperkukuh kedudukan syarikat Bumiputera dalam ekosistem industri,” katanya.
Menurut Junady, pendekatan itu boleh membuka ruang kepada syarikat Bumiputera untuk beralih daripada sekadar pembekal kepada rakan strategik dalam rantaian bekalan, sekali gus mewujudkan peluang pertumbuhan jangka panjang.
Dalam pada itu, komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk melabur RM2 bilion bagi memperkasa syarikat Bumiputera, termasuk menyokong usaha penyenaraian awam dan memperkukuh pemilikan hartanah strategik, turut menyokong agenda meningkatkan pemilikan serta penguasaan ekonomi Bumiputera.
Belanjawan 2027 juga memperuntukkan penubuhan Dana Ciptawan berjumlah RM250 juta oleh Khazanah Nasional Bhd dan TERAJU bagi menyokong pertumbuhan syarikat pertengahan bumiputera.
Dana itu memberi tumpuan kepada usaha membantu syarikat berpotensi meningkatkan skala perniagaan, membina daya tahan dan berkembang ke tahap lebih tinggi.
Selain itu, kesinambungan Program 10 Juara Bumiputera dengan peruntukan RM40 juta menjelang 2027 turut dialu-alukan bagi melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera berprestasi tinggi yang mampu menerajui sektor strategik.
Junady berkata, kejayaan agenda pembangunan ekonomi Bumiputera perlu dinilai berdasarkan keupayaan syarikat untuk berkembang, mewujudkan pekerjaan berkualiti, meningkatkan produktiviti, menembusi pasaran antarabangsa dan membina nilai jangka panjang.
Sehubungan itu, TERAJU akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dan penyelaras bagi memastikan peluang yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 dapat diterjemahkan kepada hasil nyata kepada komuniti perniagaan Bumiputera. –UTUSAN











