FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI) mencatatkan prestasi bercampur bagi tempoh lapan bulan pertama 2026, dengan indeks dibuka pada 1,680.11 mata pada awal tahun dan mencapai paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun kepada 1,771.25 mata pada 27 Januari.
Berdasarkan laporan Tinjauan Ekonomi 2027, indeks penanda aras seterusnya menyusut berikutan ketegangan geopolitik yang kian meruncing.
Katanya, pasaran ekuiti domestik kembali mengukuh dengan FBM KLCI meningkat sebanyak 3.7 peratus bulan ke bulan kepada 1,724.90 mata pada akhir Julai berbanding 1,664.06 mata pada akhir jun.
“Prestasi ini disokong oleh peningkatan semula minat pelabur di samping sentimen serantau yang bertambah baik.
“Indeks ditutup pada 1,725.88 mata pada akhir Ogos dengan mencatat peningkatan dari awal tahun sehingga terkini sebanyak 2.7 peratus, meskipun ketidaktentuan global yang kembali memuncak mengehadkan kenaikan indeks,” katanya.
Sementara itu, laporan berkata, permodalan pasaran mencapai RM2.19 trilion, manakala jumlah urus niaga dan nilai dagangan bagi tempoh lapan bulan pertama mencatat 567 bilion unit dan RM540.9 bilion sekali gus menggambarkan daya tahan pasaran ekuiti domestik.
Menurutnya, pelbagai inisiatif pasaran modal yang sedang dilaksanakan termasuk langkah di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026 – 2030 (CMP) seperti Program MY Value Up serta penambahbaikan indeks FBM KLCI dan FBM70 akan terus memperkukuh kerancakan dan daya saing pasaran.
“Peluasan FBM KLCI daripad 30 kepada 50 konstituen akan dilaksanakan secara berperingkat dari Disember 2026 hingga Jun 2027.
“Langkah ini akan memperluas liputan permodalan Pasaran Utama serta meningkatkan perwakilan mengikut sektor.
“Selain itu, semakan segmentasi pasaran akan memperjelas struktur pasaran awam, meningkatkan kualiti penyenaraian serta menyediakan laluan yang lebih tersusun bagi syarikat untuk beralih daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama,” ujarnya.
Secara keseluruhan, laporan berkata, inisiatif tersebut akan memperluas peluang pelaburan, meningkatkan penyertaan pasaran serta memudah cara mobilisasi modal yang lebih berkesan bagi menyokong pembangunan ekonomi Malaysia yang mampan. – UTUSAN











