Kerajaan semak semula jumlah perbelanjaan 2026 kepada RM444.1 bilion - Utusan Malaysia

Kerajaan semak semula jumlah perbelanjaan 2026 kepada RM444.1 bilion

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN menyemak semula perbelanjaan kerajaan persekutuan daripada peruntukan asal RM419.2 bilion kepada RM444.1 bilion berikutan pelarasan keutamaan perbelanjaan dan peningkatan keperluan subsidi bahan api berikutan kenaikan harga tenaga global.

Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan, pelarasan itu mencerminkan langkah kerajaan menangani keadaan ekonomi semasa di samping mengekalkan momentum konsolidasi fiskal dan melindungi kesejahteraan rakyat.

Katanya, sebanyak 81.8 peratus daripada jumlah yang disemak semula diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus (OE), manakala baki 18.2 peratus diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan (DE).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sektor sosial menerima bahagian terbesar sebanyak RM154.8 bilion yang merangkumi 34.9 peratus daripada jumlah peruntukan diikuti sektor ekonomi (RM60 bilion atau 13.5 peratus), keselamatan (RM43.8 bilion atau 9.9 peratus) dan pentadbiran am (RM20.1 bilion atau 4.5 peratus).

“Baki sebanyak 37.2 peratus diperuntukkan kepada perbelanjaan tanggungan dan bayaran pindahan merangkumi bayaran khidmat hutang (DSC), bayaran persaraan serta pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri.

“Jumlah OE pada 2026 disemak semula lebih tinggi sebanyak RM363.1 bilion berbanding peruntukan asal RM338.2 bilion. Pelarasan ini terutamanya didorong oleh peruntukan lebih tinggi bagi subsidi dan bantuan sosial khususnya subsidi bahan api.

“Pada 2026, OE dijangka meningkat 9.8 peratus berbanding 2025 terutamanya disebabkan oleh peruntukan lebih tinggi untuk subsidi dan bantuan sosial, emolumen, bayaran persaraan dan DSC,” katanya.

Menurut laporan itu, emolumen kekal komponen terbesar OE mewakili 29.9 peratus atau RM108.4 bilion, manakala bayaran persaraan dianggar meningkat 11 peratus kepada RM42.8 bilion.

Menurutnya, subsidi dan bantuan sosial dijangka meningkat ketara sebanyak 34.7 peratus kepada RM74.5 bilion pada 2026 terutamanya didorong oleh keperluan subsidi bahan api, manakala DSC dianggar meningkat 6.7 peratus kepada RM57.3 bilion.

“Sementara itu, perkhidmatan dan bekalan dijangka berkurang sebanyak 1.3 peratus kepada RM41.6 bilion berikutan penyusunan semula keutamaan perbelanjaan, manakala pemberian dan serahan kepada kerajaan negeri meningkat 16.3 peratus kepada RM11.4 bilion.

“Bagi peruntukan DE sebanyak RM81 bilion, sektor ekonomi menerima bahagian terbesar berjumlah RM37.1 bilion merangkumi projek ketersambungan seperti LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang, Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta projek tebatan banjir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini