KUALA LUMPUR: Peningkatan mendadak kes berkaitan jerebu ketika ini dijangka berlaku dengan kemudahan kesihatan negara masih berupaya menampung jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, meskipun berlaku peningkatan ketara, situasi itu masih belum menyebabkan kemudahan kesihatan negara terbeban sehingga tidak mampu mengendalikan pesakit.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) terus memantau perkembangan semasa dan menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai menerusi kenyataan serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).
“Memang terdapat peningkatan mendadak dalam jumlah kes dan perkara itu dijangka berlaku. Namun, kemudahan kesihatan kita masih mampu mengendalikan keadaan ini.
“Kita hampir setiap hari mengeluarkan kenyataan, manakala CPRC turut menyediakan perkembangan terkini. Kita sentiasa menyalurkan maklumat kepada orang ramai” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu, khususnya individu yang mempunyai penyakit sedia ada seperti asma dan masalah pernafasan.
“Nasihat kami sentiasa konsisten, namun keputusan untuk menutup sekolah bukan di bawah bidang kuasa kami, sebaliknya terletak di bawah tanggungjawab Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM).
“Bagaimanapun, dari segi nasihat kesihatan, khususnya apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 160 dan kini mencecah lebih 200, kami menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti luar.
“Sesetengah sekolah juga telah ditutup apabila bacaan IPU melebihi 200, malah ada yang mengambil langkah sama apabila bacaan berada pada paras 150 hingga 170.
“Oleh itu, kami meminta orang ramai supaya mengelakkan aktiviti luar bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara.
Beliau menasihatkan orang ramai, khususnya golongan berpenyakit kronik, kanak-kanak dan warga emas, supaya mengelakkan aktiviti luar apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat, terutama pada bacaan melebihi 200.
Katanya, orang ramai yang perlu berada di luar dinasihatkan memakai pelitup muka bagi mengurangkan pendedahan kepada pencemaran udara. –UTUSAN











