PETALING JAYA: Nelayan pantai tulen yang telah lama memohon lesen perlu diberi keutamaan dalam pengagihan lesen sampan khas menerusi Belanjawan 2027 yang disasarkan memberi manfaat kepada 20,000 nelayan.
Setiausaha Agung Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Azrul Faizal Mohamed berkata, keutamaan itu perlu mengambil kira rekod permohonan, penglibatan sebenar dalam aktiviti perikanan serta kebergantungan kepada hasil laut sebagai sumber pendapatan.
Katanya, JARING menyambut baik pengumuman peningkatan jumlah lesen sampan khas kerana inisiatif tersebut membuka peluang menangani kesukaran nelayan pantai mendapatkan lesen.
“Inisiatif ini merupakan satu peluang penting untuk menangani isu kesukaran mendapatkan lesen dalam kalangan nelayan pantai, khususnya mereka yang telah lama menjalankan aktiviti perikanan tetapi masih menunggu kelulusan permohonan.
“Bagaimanapun, keberkesanan inisiatif ini bergantung pada mekanisme pelaksanaan dan pengagihan lesen yang telus, adil serta berpaksikan keperluan sebenar komuniti nelayan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul Faizal berkata, kriteria kelayakan yang jelas, proses permohonan cekap serta mekanisme pemantauan penting bagi memastikan lesen yang diperuntukkan sampai kepada golongan sasaran.
Katanya, penambahan jumlah lesen tidak seharusnya dinilai berdasarkan angka semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dari segi keberkesanannya menyelesaikan masalah pelesenan nelayan pantai serta menjamin kelangsungan mata pencarian mereka.
“JARING berharap pelaksanaan inisiatif itu menjadi langkah konkrit ke arah sistem pelesenan lebih inklusif, telus dan adil tanpa meminggirkan nelayan pantai yang sekian lama menunggu pengiktirafan serta peluang menjalankan kegiatan perikanan secara sah,” katanya. – UTUSAN











