Pengecualian duti hiburan: Kurangkan beban penggiat teater - Utusan Malaysia

Pengecualian duti hiburan: Kurangkan beban penggiat teater

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerbit teater, Shawn Amer menyambut baik pengumuman kerajaan menerusi Belanjawan 2027 berhubung pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket pementasan teater tempatan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula 2027.

Menurut Shawn yang juga merupakan Pengasas syarikat Mask Team, inisiatif tersebut turut disifatkan membantu meringankan beban kewangan produksi, selain membuka peluang kepada lebih banyak pementasan teater pada masa akan datang.

“Bagi pihak Mask Team, kami menyambut baik pengumuman ini, khususnya pengecualian penuh duti hiburan bagi tiket persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan bermula tahun 2027.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya melihat ini sebagai satu perkembangan positif untuk industri teater kerana ia menunjukkan adanya sokongan terhadap pengkarya dan produksi tempatan.

“Pada masa sama, peruntukan untuk industri kreatif yang turut diumumkan memberi harapan bahawa sektor ini terus mendapat perhatian,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambah Shawn, pengecualian tersebut dijangka memberi kesan positif terhadap perancangan kewangan produksi, khususnya dalam aspek penetapan harga tiket dan kos pementasan.

“Saya percaya pengecualian ini boleh memberi kesan positif, terutama dari segi harga tiket dan perancangan kewangan sesebuah produksi. Industri teater mempunyai pelbagai kos yang perlu ditanggung.

“Jadi, sebarang langkah yang dapat mengurangkan beban tersebut sememangnya dialu-alukan. Dalam masa sama, kami berharap pengecualian ini turut memberi manfaat kepada penonton dan menjadikan teater lebih mudah diakses oleh masyarakat,” jelasnya.

Dalam pada itu, penerbit teater Tarik Picu itu berharap inisiatif berkenaan dapat meningkatkan keyakinan penggiat seni untuk menghasilkan lebih banyak karya dan menganjurkan pementasan pada masa hadapan.

“Apabila ada sokongan seperti ini, ia boleh memberi lebih keyakinan kepada produksi untuk merancang karya baharu dan meneruskan pementasan.

“Namun, usaha memperkukuh industri teater bukan hanya bergantung kepada pengecualian duti hiburan. Kita juga memerlukan sokongan berterusan, peluang pementasan yang lebih luas serta usaha menarik lebih ramai penonton ke teater.

“Saya berharap inisiatif ini menjadi permulaan kepada perkembangan yang lebih baik untuk industri teater tempatan. Kami di Mask Team tentunya berharap dapat terus menyumbang kepada perkembangan seni persembahan di Malaysia,” ujarnya.

Hari ini, kerajaan mengumumkan peruntukan berjumlah lebih RM130 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi menyokong pertumbuhan sektor perfileman, muzik dan pembangunan kandungan tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut bertujuan mengangkat citra negara di mata dunia selain merangsang ekonomi melalui penghasilan kandungan kreatif yang berkualiti tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini