Empat beranak tumpang mandi di tandas pusat beli-belah

Hidup daif, empat beranak tumpang mandi di tandas pusat beli-belah

MARIATI Antek menunjukkan bahagian dapur rumahnya yang bocor di Kampung Kuala Kangkong, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: “Saya tidak minta banyak, cukuplah kalau bumbung rumah yang bocor dibaiki selain ada tandas supaya anak-anak dapat hidup lebih selesa.”.

Itu harapan suri rumah, Mariati Antek, 37, yang dihimpit kesempitan hidup sehingga terpaksa menetap di sebuah rumah usang bersama suami dan dua anak di Kuala Kangkong, di sini.

Rumah yang menjadi tempat berteduh keluarga itu berada dalam keadaan serba daif dengan bumbung yang bocor selain tiada tandas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lebih memilukan, bekalan air rumah keluarga itu pernah dipotong kira-kira tiga bulan lalu setelah tidak mampu membayar tunggakan bil sebanyak RM1,100.

Menurut Mariati yang sarat hamil tujuh bulan, keadaan itu memaksanya membawa anak-anak ke tandas sebuah pusat beli-belah berhampiran untuk mandi dan buang air.

“Bekalan air baru disambung semula bulan lalu selepas ada seorang dermawan membantu melangsaikan tunggakan bil itu. Sepanjang tiada air, memang susah. Kami terpaksa ke tandas dan mandi di luar, kami cuba bertahan kerana tiada pilihan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mariati yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, suaminya, Mohd. Akhir Omar, 37, bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak tetap dan kadangkala kurang RM700 sebulan.

Pasangan itu mempunyai dua anak, Nur Naila Farafisyah, 7, yang bersekolah di darjah satu manakala anak kedua mereka, Muhammad Nazim Irfan, 5, menghidap penyakit jantung sejak lahir.

Katanya, dengan pendapatan suami yang tidak menentu, keperluan harian keluarga dan kos rawatan anak, mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membaiki rumah pusaka berkenaan yang semakin usang.

“Kalau hujan air masuk ke dalam rumah dan pernah juga saya hampir dipatuk ular senduk ketika bangun tidur. Rumah ini memang banyak kekurangan tetapi kami tetap tinggal di sini kerana inilah tempat yang kami ada,” katanya.

Mariati berkata, dia tidak berniat mengambil kesempatan daripada mana-mana pihak dan hanya berharap ada pihak yang sudi membantu menyediakan tandas serta membaiki bahagian bumbung rumah demi keselamatan dan keselesaan anak-anaknya.

Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh berbuat demikian dengan menderma melalui akaun BSN milik Mariati, 1200141000015872. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini