PETALING JAYA: Pendapatan bersih bulanan rakan pemandu e-hailing dijangka meningkat sehingga RM227, manakala rakan penghantar p-hailing bakal menikmati kenaikan sehingga RM100 menerusi pakej inisiatif Belanjawan 2027.
Peningkatan itu bakal direalisasikan susulan langkah Grab Malaysia (Grab) membiayai bersama pelbagai inisiatif strategik bersama kerajaan bagi meningkatkan peluang pendapatan, mengurangkan kos operasi dan memperkukuh perlindungan sosial rakan kongsinya.
Menerusi inisiatif berkenaan, persetujuan prinsip telah dicapai bagi menetapkan kadar garis panduan minimum bermula 2027 untuk pekerja gig e-hailing dan p-hailing, dengan jaminan kadar tambang penumpang kekal stabil sepanjang pelaksanaan rangka kerja tersebut.
Pengarah Eksekutif Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, usaha meningkatkan taraf hidup rakan pemandu dan penghantar sentiasa menjadi keutamaan syarikat dalam membina ekosistem ekonomi gig yang lebih mampan.
“Kami memahami bahawa setiap ringgit amat berharga, sama ada menerusi peluang pendapatan tambahan mahupun penjimatan kos harian.
“Menerusi kerjasama rapat bersama kerajaan, kami mengambil peranan memimpin industri untuk memajukan langkah-langkah yang membawa perbezaan bermakna kepada komuniti rakan kongsi kami,” katanya dalam kenyataan.
Bagi mengurangkan kos operasi, kerajaan dan Grab akan membiayai bersama subsidi penyelenggaraan kenderaan bermula dengan cecair pelincir yang berupaya menjimatkan perbelanjaan rakan pemandu dan penghantar sehingga 35 peratus.
Grab turut memperkenalkan insentif keselamatan interim bagi mengurangkan kos insurans e-hailing kawal selia sehingga 25 peratus untuk pemandu yang mencatatkan skor pemanduan selamat.
Di samping itu, Grab dan kerajaan akan menyokong caruman wajib Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah Akta Pekerja Gig.
Rakan pemandu dan penghantar Grab yang paling aktif bakal menerima liputan percuma 100 peratus, manakala rakan kongsi lain menerima subsidi caruman sehingga 50 peratus tanpa menjejaskan pendapatan bersih mereka.
Bagi menjana permintaan penumpang, Grab bekerjasama dengan kerajaan memperkenalkan pas transit bulanan ketersambungan first-and-last-mile di Lembah Klang menerusi potongan harga tambang e-hailing ke dan dari stesen kereta api. –UTUSAN










