PEMOHON pembiayaan peribadi baharu melebihi RM100,000 wajib melengkapkan modul pendidikan kewangan yang dikendalikan oleh penyedia perkhidmatan kewangan atau Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mulai 1 Januari depan.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2027, penyedia perkhidmatan kewangan juga dikehendaki menggunakan nisbah khidmat hutang (DSR) berhemat dan menetapkan ambang minimum pendapatan boleh guna bersih dengan mengambil kira tahap pendapatan serta kemampuan isi rumah peminjam.
Katanya, langkah tersebut dilengkapi dengan inisiatif Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN) di bawah Strategi Nasional Literasi Kewangan 2026 – 2030 bagi meningkatkan keupayaan kewangan dan daya tahan isi rumah dalam jangka masa panjang.
“Setakat Jun 2026, hutang isi rumah Malaysia berjumlah RM1.75 trilion atau 83.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penurunan daripada 84.7 peratus pada akhir 2025 berikutan pertumbuhan KDNK nominal yang lebih kukuh.
“Pertumbuhan hutang isi rumah turut menyederhana dan sejajar dengan trend terdahulu terutamanya didorong oleh pembiayaan bagi harta tanah kediaman dan kereta penumpang yang secara kolektif merangkumi 75.3 peratus daripada jumlah hutang isi rumah,” katanya.
Menurut laporan, kedudukan kewangan isi rumah terus kukuh disokong oleh pemilikan aset yang teguh dan nilai kewangan bersih yang baik, walaupun paras hutang kekal tinggi.
Katanya, keupayaan pembayaran balik hutang isi rumah kekal kukuh disokong oleh keadaan pasaran buruh yang menggalakkan serta pertumbuhan pendapatan yang stabil.
“Median DSR berada pada 32.1 peratus dengan median DSR bagi semua kumpulan pendapatan kekal di bawah paras 60 peratus, manakala median nisbah hutang kepada pendapatan kekal stabil pada 1.3 kali. Nisbah pinjaman isi rumah terjejas turut kekal rendah pada 1.1 peratus.
“Penunjuk tersebut mencerminkan keupayaan kewangan isi rumah yang mencukupi untuk memenuhi tuntutan hutang, sekali gus mengurangkan risiko terhadap kestabilan kewangan secara keseluruhan.
“Melangkah ke hadapan, risiko kredit isi rumah dijangka kekal stabil dan terkawal,” jelasnya.
Pada masa sama, penggunaan pembiayaan dan kaedah pembayaran alternatif termasuk kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) terus meningkat.
Kemudahan tersebut memberikan fleksibiliti kepada pengguna dalam mengurus pembelian dan aliran tunai jangka masa pendek.
Walau bagaimanapun, penggunaan pelbagai kemudahan kredit secara serentak boleh meningkatkan komitmen kewangan.
Keadaan ini menekankan keperluan kepada pengguna untuk menilai keupayaan pembayaran balik sebelum mengambil komitmen kewangan tambahan di samping menegaskan kepentingan pengurusan kewangan berhemat. – UTUSAN










