Ganabatirau fail saman fitnah terhadap Firdaus Wong

Ganabatirau fail saman fitnah terhadap Firdaus Wong

Garis panduan 3R
GANABATIRAU VERAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman telah memfailkan saman fitnah terhadap pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berhubung hantaran yang dibuat di media sosial didakwa mempersoalkan kesetiaannya kepada Malaysia.

Ganabatirau selaku plaintif memfailkan saman itu terhadap Firdaus yang dinamakan sebagai defendan tunggal pada 8 Oktober lalu melalui firma guaman, Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi di sini.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, Ganabatirau mendakwa Firdaus Wong menyiarkan kenyataan berunsur fitnah pada 28 Julai menerusi akaun media sosial milik pendakwa berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hantaran itu menyentuh mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi ketika lawatannya ke Malaysia pada 8 Februari lalu.

Pada pertemuan itu, plaintif telah menimbulkan isu mengenai halangan dan isu-isu prosedur yang dihadapi oleh rakyat Malaysia berketurunan India berkaitan dengan program Overseas Citizen of India (“OCI”) yang telah dikendalikan oleh Kerajaan India.

Pada atau sekitar 28 Julai lalu, Firdaus telah menerbitkan satu hantaran di akaun Facebook dan Instagram miliknya yang menyentuh mengenai plaintif dan pertemuan tersebut.

Hantaran tersebut antara lain didakwa telah mempersoalkan dan menimbulkan keraguan terhadap kesetiaan plaintif kepada Malaysia.

Ganabatirau turut mendakwa hantaran yang dibuat Firdaus itu seolah-olah menggambarkan plaintif walaupun seorang Ahli Parlimen dan warga negara Malaysia mempunyai kecenderungan atau kesetiaan terhadap India dan memperjuangkan suatu perkara yang tidak selaras dengan kesetiaannya kepada Malaysia.

Hantaran tersebut, dakwa plainti, dibuat dengan niat jahat dan telah menyebabkan Ganabatirau dipandang dengan syak wasangka, penghinaan, kebencian serta mencemarkan nama baik dan reputasi plaintif dalam secara peribadi dan sebagai penjawat awam.

Tambah plaintif, walaupun telah dierahkan dengan surat tuntutan bertarikh 4 Ogos lalu, Firdaus masih gagal atau enggan untuk menarik balik atau memadam hantaran berkenaan, membetulkan tanggapan yang ditimbulkan atau memohon maaf.

Sehubungan itu, Ganabatirau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan yang dibenarkan oleh undang-undang.

Beliau turut memohon satu perintah injunksi bagi menghalang Firdaus daripada menerbitkan semula kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu atau membuat tuduhan serupa terhadapnya menerusi Facebook, Instagram atau mana-mana platform lain. 

Plaintif turut memohon defendan membuat permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat yang akan disiarkan di semua media sosial milik Firdaus atau dalam mana-mana medium yang ditentukan oleh mahkamah.

Turut dimohon ialah kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini