PMKS sumbang 39.7 peratus kepada KDNK negara 

PMKS sumbang 39.7 peratus kepada KDNK negara 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBANYAK 39.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2025 disumbangkan oleh Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) yang memainkan peranan penting dalam ekonomi.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2027, Malaysia antara negara yang berada pada kedudukan teratas dalam ASEAN SME Policy Index 2024, turut merangkumi perusahaan mikro, Malaysia telah diiktiraf melalui rangka kerja institusi yang maju, ekosistem pembiayaan yang kukuh serta program sokongan yang meluas bagi pendigitalan, inovasi dan peluasan pasaran PMKS. 

“Walau bagaimanapun, indeks ini mengesyorkan keperluan penambahbaikan dalam penilaian program dan inisiatif kemampanan PMKS.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sehubungan itu, RMK13 menyasarkan peningkatan sumbangan PMKS kepada 50 peratus KDNK menjelang 2030 melalui pembangunan perusahaan domestik yang lebih produktif dan berdaya saing.

“Penyertaan terhad dalam rantaian nilai global, kekangan pembiayaan dan penerimagunaan digital yang berbeza terus mengehadkan keupayaan PMKS mengembangkan perniagaan dan bersaing pada peringkat antarabangsa,” katanya dalam laporan itu.

Selain itu, dalam laporan itu berkata, jurang dalam teknologi, bakat, pensijilan dan hubungan pasaran terus merencat usaha meningkatkan produktiviti serta akses kepada pasaran serantau dan global. 

“Pengukuhan keupayaan tersebut penting bagi membolehkan lebih banyak PMKS menyertai aktiviti bernilai tambah lebih tinggi, berkembang melangkaui pasaran domestik dan menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi bernilai lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, pelaburan berkualiti Malaysia terus memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pelaburan yang menarik disokong oleh peningkatan daya saing dan minat pelaburan yang berterusan.

“Perkembangan tersebut membuka peluang kepada negara untuk memacu industri semikonduktor, Al, perkhidmatan digital, peralihan tenaga, farmaseutikal, logistik dan aeroangkasa melalui pelbagai dasar negara. 

“Walaupun kelulusan pelaburan terus meningkat, namun beberapa penilaian oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dan World Bank antaranya telah menunjukkan cabaran berterusan dalam menzahirkan pelaburan yang diluluskan kepada pelaksanaan projek di lapangan. 

“Cabaran tersebut merangkumi aspek kawal selia, operasi, tenaga mahir, penyertaan dalam rantaian bekalan domestik serta penerimagunaan teknologi dalam kalangan PMKS tempatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini