SEKTOR pertanian dijangka menguncup sebanyak 2.1 peratus pada 2026 berikutan pengeluaran hasil komoditi ladang yang berkurang dengan diunjur menyusut sebanyak 3.3 peratus pada separuh kedua tahun ini.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, sektor itu menguncup sebanyak 0.7 peratus pada separuh pertama 2026 berikutan pengeluaran yang lebih rendah dalam kebanyakan subsektor kecuali ternakan dan pertanian lain.
“Subsektor kelapa sawit merosot sebanyak 2.8 peratus susulan pengeluaran buah tandan segar (BTS) yang lebih rendah di Semenanjung Malaysia.
“Kemerosotan prestasi pengeluaran BTS didorong oleh pengurangan keluasan kawasan kelapa sawit matang di Semenanjung Malaysia yang lebih besar berbanding di Sabah dan Sarawak.
“Subsektor getah turut menguncup sebanyak 16.3 peratus terutama disebabkan oleh kekurangan penoreh dan faktor cuaca yang menjejaskan aktiviti penorehan meskipun keadaan pasaran adalah baik.
“Pada masa yang sama, subsektor perikanan serta perhutanan dan pembalakan juga turut mencatat penurunan, namun prestasi subsektor ternakan serta pertanian lain merekodkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus dan 1.3 peratus bagi mengimbangi penyusutan sektor pertanian,” katanya.
Dalam pada itu, subsektor kelapa sawit dijangka merosot disebabkan oleh faktor gangguan cuaca. Walaupun pengeluaran hasil BTS pada 2025 adalah tinggi, namun kitaran hasil biologi akan mengehadkan pengeluaran BTS pada 2026.
“Di samping itu, ketidakseragaman kerja penuaian di ladang serta ketidakcekapan pungutan hasil buah lerai turut menyumbang kepada kemerosotan keseluruhan hasil.
“Subsektor getah juga dijangka merekodkan penyusutan kerana risiko cuaca dan kos pengeluaran yang lebih tinggi akan mengehadkan pengeluaran getah asli.
“Pertumbuhan subsektor perikanan serta perhutanan dan pembalakan juga dijangka kekal lemah,” katanya.
Sebaliknya, subsektor ternakan dan pertanian lain akan terus berkembang disokong oleh peningkatan produktiviti di ladang, pengeluaran ayam dan itik yang lebih tinggi serta penanaman berskala besar benih baka jagung bijian MARDI yang baharu iaitu MZ1 dan MZ2.
“Sementara itu, segmen buah-buahan dan sayur-sayuran dijangka menyumbang kepada pertumbuhan subsektor pertanian lain,” katanya. – UTUSAN











