PERMINTAAN tenaga elektrik di Malaysia mencatatkan peningkatan ketara apabila Semenanjung Malaysia memaparkan kenaikan semasa waktu puncak sebanyak 4.9 peratus daripada 20,066 megawatt (MW) pada 2024 kepada 21,049 MW pada 2025.
Menurut Laporan Tinjauan Ekonomi 2027, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjangkakan permintaan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia akan terus berkembang kepada 141.87 terawatt-jam (TWh) pada 2026 dan 148.66 TWh pada 2027 dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sekitar 4.9 peratus.
Pertambahan keperluan tersebut memberikan tekanan ke atas sistem tenaga elektrik negara bagi memastikan keupayaan kapasiti yang mencukupi, sekali gus menuntut pelaburan berterusan dalam penjanaan, rangkaian penghantaran dan infrastruktur grid.
“Sistem elektrik Malaysia disokong oleh grid nasional di Semenanjung Malaysia yang dikendalikan oleh TNB merangkumi rangkaian penghantaran 132 kilovolt (kV), 275kV dan 500kV bagi memastikan operasi yang selamat, berdaya harap serta ekonomik.
“Walau bagaimanapun, sistem tersebut perlu ditambah baik selari dengan pertumbuhan pesat projek pusat data dan perindustrian.
“Sehingga Disember 2025, pusat data menyumbang sebanyak 850 MW penggunaan beban sebenar daripada sekitar 4.5 Gigawatt (GW) kapasiti, manakala projek dalam perancangan dijangka memerlukan penggunaan beban sehingga 7.5 GW,” katanya.
Menurut laporan, perluasan grid amat kritikal bukan sahaja untuk menyokong perdagangan tenaga elektrik serantau tetapi juga memenuhi keperluan domestik dan menarik pelaburan baharu berintensifkan tenaga.
Sementara itu, Malaysia turut mempunyai potensi besar dalam pembangunan tenaga boleh baharu (TBB) terutamanya kuasa solar dan sumber kuasa hidro di Sarawak.
“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melaporkan TBB menyumbang sebanyak 31 peratus daripada kapasiti penjanaan terpasang negara sehingga Oktober 2025.
“Malaysia menetapkan sasaran mencapai 40 peratus kapasiti TBB menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050 bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta menjana kapasiti tenaga untuk didagangkan dengan negara jiran,” katanya.
Tambah laporan itu, akses kepada bekalan tenaga elektrik yang lebih bersih akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi pelaburan syarikat antarabangsa yang ingin mengurangkan pelepasan karbon. –UTUSAN











