Penggunaan awam diunjur berkembang 3.8 peratus pada 2026 - Utusan Malaysia

Penggunaan awam diunjur berkembang 3.8 peratus pada 2026

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNAAN awam diunjur berkembang sebanyak 3.8 peratus pada 2026 selepas mencatat pertumbuhan 5.9 peratus pada separuh pertama tahun ini.

Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, pertumbuhan pada separuh pertama 2026 terutama disokong perbelanjaan lebih tinggi bagi perkhidmatan dan bekalan serta peningkatan emolumen susulan pelaksanaan fasa kedua pelarasan gaji di bawah SSPA.

“Bagaimanapun, pertumbuhan dijangka menyederhana pada separuh kedua 2026 selaras langkah menilai semula perbelanjaan operasi tidak kritikal dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Peruntukan bagi perkhidmatan penting termasuk kesihatan, pendidikan dan keselamatan akan terus terpelihara.

“Pilihan raya negeri juga dijangka menyokong penggunaan awam melalui perbelanjaan dan aktiviti berkaitan pilihan raya.

“Perkembangan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mengekalkan penyampaian perkhidmatan awam yang cekap di samping memperkukuh disiplin fiskal serta memastikan penggunaan sumber awam secara berhemat,” katanya.

Sementara itu, pelaburan awam pula meningkat sebanyak 5.8 peratus pada separuh pertama 2026 dan dijangka mengukuh kepada 7.7 peratus bagi keseluruhan tahun.

“Pertumbuhan ini akan disokong perbelanjaan modal berterusan oleh Kerajaan Persekutuan dan syarikat awam bukan kewangan (NFPC).

“Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan akan disalurkan kepada projek pengangkutan dan ketersambungan sedia ada termasuk LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang, Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta pelaksanaan projek Cakna MADANI yang merangkumi sektor pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan.

“Projek Cakna MADANI yang berskala kecil dan sederhana dirangka untuk pelaksanaan segera dan memberikan manfaat langsung kepada komuniti tempatan.

“Sementara itu, pelaburan NFPC akan terus disokong projek tenaga dan utiliti termasuk infrastruktur gas, hidroelektrik dan inisiatif solar seperti PETRONAS Floating Liquefied Natural Gas 3 (PFLNG3), Projek Hidroelektrik Nenggiri, Sungai Perak Hydro Life Extension Programme (HLEP) dan Solar Skala Besar (LSSS),” katanya.

Dalam pada itu, pendapatan negara kasar (PNK) pada harga semasa dianggar berkembang sebanyak tujuh peratus pada 2026 didorong aktiviti domestik yang lebih kukuh.

“Tabungan negara kasar (TNK) juga dijangka meningkat sebanyak 10.2 peratus dengan menyumbang 23.7 peratus daripada PNK.

“Jurang tabungan-pelaburan pula dijangka mencatat lebihan sebanyak RM41.3 bilion atau dua peratus daripada PNK, dengan jumlah pelaburan diunjur pada RM455 bilion atau 21.7 peratus daripada PNK.

“Keadaan itu dijangka menyediakan dana bagi pelaburan produktif jangka panjang, terutama daripada sumber domestik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini