Sukan harap suntikan baharu Belanjawan 2027

Sukan harap suntikan baharu Belanjawan 2027

SKUAD angkat berat kebangsaan meraih lima pingat emas dan masing-masing satu perak dan gangsa pada Sukan Komanwel 2026, Julai lalu.(dari kiri) Siti Aqilah Farhan Draman, Mohamad Syahmi Nor Ghazali, Muhammad Erry Hidayat, Mohamad Aniq Kasdan, Muhamad Aznil Bidin, Muhammad Hafizuddin Roslin dan Irene Jane Henry .
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan sukan berharap pembentangan Belanjawan 2027 hari ini membawa berita baik kepada pembangunan sukan negara, khususnya dalam aspek persiapan atlet berprestasi tinggi dan penganjuran pertandingan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, sukan kurang popular seperti angkat berat wajar diberi perhatian, terutama apabila atletnya berjaya menyumbang pingat kepada negara di pentas antarabangsa.

“Kita menantikan berita baik supaya persatuan sukan yang memberi pingat kepada negara diutamakan, selain penstrukturan untuk menganjurkan sukan berprestasi tinggi dapat dibuat.

“Penganjuran sukan di peringkat kebangsaan perlu diberi perhatian kerana terdapat penglibatan yang ramai. Kalau sekarang ini dengan RM30,000 diberikan untuk menganjurkan kejohanan, memang perit.

“Kalau diberikan RM50,000 hingga RM70,000, penganjuran tersebut akan menjadi lebih bermakna,” katanya.

Ayub turut berkata, prestasi atlet Malaysia di peringkat Komanwel, Asia dan dunia membuktikan sukan negara mempunyai potensi untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa.

Katanya, pelaburan baharu dalam sektor sukan juga penting bagi membangunkan modal insan, khususnya melahirkan lebih ramai atlet pelapis berkualiti.

“Jadi, ini adalah satu landasan yang tepat kepada kerajaan untuk membuat pelaburan baharu dalam sukan bagi meningkatkan modal insan, terutama atlet baharu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, peningkatan peruntukan amat diperlukan bagi membolehkan atlet negara menyertai lebih banyak pertandingan antarabangsa sebagai persiapan menghadapi temasya besar termasuk Sukan Olimpik 2028.

Katanya, pendedahan menerusi pertandingan di luar negara penting untuk meningkatkan pengalaman dan tahap persaingan atlet sebelum Malaysia menganjurkan Sukan SEA 2027.

“Apabila kita ada Olimpik, kita perlukan banyak pertandingan. Kita perlu menyertai pertandingan di luar negara untuk memberikan pendedahan kepada atlet.

“Sebelum Sukan SEA dan selepas itu, kita mahu lihat perkembangan mereka. Jadi, mungkin kalau bajet ini dinaikkan, alhamdulillah,” katanya.

Dalam Belanjawan 2026 yang dibentangkan tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM580 juta bagi pembangunan sukan negara.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini