PETALING JAYA: Irkaz Travel & Tours Sdn. Bhd. (Irkaz Travel) menyasarkan seramai 300 jemaah bagi musim haji 1448H/2027M menerusi penawaran dua pilihan pakej utama iaitu Pakej Selesa dan Pakej Premium Rotana.
Sasaran berkenaan ditetapkan bersempena tahun kedua pelantikan syarikat pengurusan pelancongan Islam itu sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) oleh Lembaga Tabung Haji (TH), susulan kejayaan mengendalikan dua kumpulan jemaah pada musim 1447H/2026M lalu.
Bagi Pakej Selesa, penawaran disasarkan khusus kepada bakal jemaah Panggilan Pertama (P1) yang telah menerima tawaran rasmi daripada TH untuk menunaikan ibadah berkenaan.
Ketua Operasi Haji Irkaz Travel, Amzari Jaafar berkata, peluang mengendalikan jemaah bagi tahun kedua merupakan satu tanggungjawab besar buat syarikat untuk terus mempertingkatkan mutu perkhidmatan berdasarkan pengalaman lalu.
“Pengalaman pada musim pertama banyak mengajar kami mengenai keperluan sebenar jemaah, bukan sahaja dari aspek operasi dan logistik tetapi juga keselesaan, kebajikan serta bimbingan ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.
“Pengalaman tersebut menjadi asas kukuh untuk kami memperkemaskan lagi persediaan bagi musim 1448H/2027M supaya setiap jemaah dapat memberi tumpuan kepada ibadah dengan lebih tenang dan sempurna,” katanya dalam kenyataan.
Tambahnya, Irkaz Travel turut memperkasa struktur sokongannya menerusi pasukan operasi dan bimbingan komprehensif merangkumi Eksekutif Operasi Haji, Tour Leader, Mutawif serta Guru Agama bertauliah.
Sempena persediaan musim 1448H/2027M, Irkaz Travel turut mengumumkan pelantikan selebriti popular, Datin Lisa Surihani sebagai jurucakap rasmi syarikat.
Pelantikan berkenaan meneruskan hubungan strategik yang terjalin sejak beliau menunaikan umrah bersama agensi itu pada 2022, sebelum kembali memilih Irkaz Travel untuk menunaikan ibadah haji pada musim lalu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Irkaz Travel, Mohd Zakri Mohamad Nor berkata, pemilihan Lisa membawa nilai tersendiri kerana peranan yang dimainkan berteraskan pengalaman kembara ibadah beliau sendiri secara nyata.
“Hubungan kami dengan Lisa bukan bermula sebagai duta perniagaan semata-mata, sebaliknya beliau mengenali Irkaz Travel sebagai jemaah umrah dan h aji. Pengalaman peribadi tersebut membolehkan beliau berkongsi gambaran yang lebih dekat dan telus mengenai persediaan ibadah bersama masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Pakej Selesa yang ditawarkan syarikat disasarkan khusus kepada bakal jemaah Panggilan Pertama (P1) yang menerima tawaran rasmi daripada Tabung Haji, pada harga rasmi bermula RM49,999 bagi bilik berempat.
Pakej Premium Rotana pula ditawarkan bermula RM74,999 bagi bilik berempat yang merangkumi penginapan di Al Marwa Rayhaan by Rotana berdekatan Masjidil Haram, penginapan di Aziziyah dan Grand Millennium Al Haram Hotel di Madinah, serta kemudahan Kereta Api Laju Haramain.
Bagi memberi ruang kepada bakal jemaah memahami dengan lebih terperinci mengenai penawaran pakej berkenaan, Irkaz Travel bakal menyertai Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan 1448H/2027M di Movenpick Convention Centre, Sepang pada 9 hingga 11 Oktober ini.
Sempena karnival berkenaan, syarikat turut menawarkan diskaun promosi khas sehingga RM5,000 kepada bakal jemaah yang mendaftar pakej Haji di reruai A041 hingga A044 Dewan Mentari, sekali gus membolehkan Pakej Selesa dimiliki pada harga serendah RM44,999. – UTUSAN











