PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Peguam Negara berjaya mendapat kebenaran untuk merayu bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membenarkan Majlis Peguam Malaysia mencabar keputusan `Tiada Tindakan Lanjut’ berkait kes rasuah Yayasan Akalbudi.
Dalam kes sivil, mana-man pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan, perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum boleh berbuat demikian.
Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah dan bersidang bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali membenarkan permohonan tersebut pada prosiding di sini hari.
“Kami berpendapat bahawa kes ini telah menimbulkan pelbagai isu perlembagaan yang sebahagiannya penting, memerlukan penjelasan dan penentuan muktamad oleh Mahkamah ini. Pemohon telah berjaya memenuhi ambang yang telah ditetapkan di bahawa Seksyen 96A dan 96B Akta Mahkamah Kehakiman 1964,”kata hakim itu ketika membaca keputusan sebulat suara panel terbabit.
Pada 7 Mei, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Majlis Peguam Malaysia untuk mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 September 2023 bagi menghentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid, dengan memutuskan bahawa permohonan itu bukan bersifat remeh dan membangkitkan isu undang-undang yang boleh dihujahkan serta wajar didengar sepenuhnya.
Mahkamah turut memberikan kebenaran kepada Majlis Peguam untuk memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara yang dipertikaikan itu, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 27 Jun 2024.
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL – UTUSAN











