Gaza: Malaysia perlu terajui Resolusi PBB bersama OIC dan NAM 

Gaza: Malaysia perlu terajui Resolusi PBB bersama OIC dan NAM 

Azril Mohd. Amin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu menerajui usaha antarabangsa menerusi Resolusi Perhimpunan Agung PBB bersama Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) bagi menggerakkan tindakan bersama terhadap krisis serta keadilan di Palestin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd. Amin berkata, usaha berkenaan penting selepas Majlis Keselamatan PBB dilihat gagal bertindak berikutan penggunaan kuasa veto.

“Malaysia mempunyai kedudukan diplomatik dan moral yang kukuh untuk membina kerjasama dengan negara lain bagi menterjemahkan undang-undang antarabangsa kepada tindakan melindungi orang awam, menyalurkan bantuan kemanusiaan dan memastikan akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Benjamin Netanyahu dan Yoav Gallant atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan juga perlu dilaksanakan, bukan sekadar menjadi dokumen.

Beliau berkata, Malaysia perlu menggunakan pengaruh diplomatik bagi memastikan tiada perlindungan politik diberikan kepada individu terbabit.

Mengenai Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), Azril menggesa Malaysia dan negara OIC menjalankan due diligence terhadap semua hubungan ekonomi, perdagangan, pelaburan, dan perolehan yang berpotensi menyumbang kepada pengekalan pendudukan haram atau eksploitasi sumber di wilayah Palestin.

Di samping itu, bantuan kemanusiaan serta akses kepada keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan rawatan kesihatan mesti dilindungi sebagai kewajipan undang-undang tanpa sebarang halangan.

“Masyarakat antarabangsa perlu memperkukuh pembiayaan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) serta menyokong pemulihan infrastruktur awam dan sistem kesihatan di Gaza yang perlu menghormati hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri.

“Pendokumentasian bukti jenayah perang secara profesional oleh peguam, organisasi hak asasi, wartawan dan masyarakat sivil juga mesti dipelihara untuk disalurkan kepada ICC dan badan kehakiman antarabangsa bagi membendung budaya impuniti,” jelasnya.

Menurut Azril lagi, masyarakat dunia tidak boleh terus mengurus simptom konflik tanpa menangani isu teras iaitu pendudukan haram dan penafian hak rakyat Palestin.

“Undang-undang antarabangsa tidak boleh tunduk kepada kuasa politik atau dipilih mengikut kepentingan geopolitik. Palestin tidak memerlukan simpati tanpa tindakan; rakyat Palestin memerlukan perlindungan, keadilan dan akauntabiliti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN