PETALING JAYA: Band post-punk tempatan, Open Privacy, kembali dengan single terbaharu, The Lake, yang mendapat inspirasi daripada filem thriller era 1960-an, Bunny Lake Is Missing.
Open Privacy dianggotai Haqim Danial (vokal dan gitar), Wan Zaki (gitar), Safa Azul (keyboard), Afiq Azren (bass) dan Arif Danial (dram) menganggap buah tangan itu mengubati kerinduan peminat selepas pelancaran mini album Noises & pada Januari lalu.
Menurut vokalisnya, Haqim Danial, idea penulisan lirik The Lake tercetus selepas menonton filem arahan Otto Preminger itu yang mengisahkan seorang ibu mencari anak perempuannya yang hilang.
“Tema yang ingin dikupas dalam lagu ini ialah rasa ketidakpastian, apabila kita berada dalam keadaan wujud dan tidak wujud pada masa sama.
“Begitu juga adakalanya kita berasa sesuatu perkara itu penting dan tidak penting pada masa yang sama.
“Perasaan itu yang cuba diteroka dalam lagu ini dan persoalan tersebut hanya boleh dijawab oleh pendengar sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai proses pembikinan muzik, Haqim berkata, The Lake turut menampilkan pengaruh muzik era 1970-an seperti Roxy Music dan ABBA yang disuntik ke dalam susunan lagu.
Sementara itu, pemain dram Open Privacy, Arif Danial menyifatkan The Lake sebagai bukti keberkesanan semangat ‘Do-It-Yourself’ (DIY) yang menjadi pegangan kumpulan itu sejak awal penubuhan.
Menurutnya, walaupun bahagian dram dirakam di studio profesional, hampir keseluruhan instrumen lain termasuk vokal dirakam di dalam bilik tidurnya.
“Cabaran yang dihadapi sepanjang proses rakaman ialah bagaimana untuk menghasilkan bunyi yang dapat memberikan representasi secara adil terhadap kekuatan pilihan muzik setiap anggota kumpulan.
“Bagi memantapkan lagi kualiti bunyi, Open Privacy menjemput Hazazi Hanafi daripada kumpulan Sadjoys untuk terlibat dalam proses mastering,” katanya.
Arif turut menzahirkan kebanggaan terhadap Safa Azul yang juga anggota baharu kumpulan itu kerana berjaya mencipta atmosfera misteri menerusi sentuhan synthesizer ambient.
Katanya, permainan gitar utama Zaki turut menghidupkan struktur lagu menerusi penggunaan kesan distortion dan delay.
Bagi meraikan pelancaran single berkenaan, Open Privacy bakal menganjurkan acara khas, Party by The Lake, di Livefact pada 6 November depan.
Terdahulu, sesi khas mendengar lagu berkenaan telah diadakan pada 3 Oktober lalu dengan kerjasama Noisy Headspace dan Soso Hub sebagai sebahagian daripada promosi awal karya tersebut. -UTUSAN










