Krisis adat: Empat Undang tarik semakan kehakiman

Empat Undang tarik balik semakan kehakiman, kes kekal di Seremban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga bekas Undang dan seorang yang masih memegang jawatan Undang yang sebelum ini memohon menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menarik balik permohonan semakan kehakiman mereka, hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dengan penarikan balik permohonan semakan tersebut, semua kes berkait dengan kemelut pentadbiran di Negeri Sembilan akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Seremban.

Empat individu yang terlibat menarik balik semakan itu ialah tiga orang bekas Undang iaitu, Datuk Mubarak Thahak; Datuk Maarof Mat Rashid; Datuk Abd Rahim Yasin dan Undang Luak Johol, Datuk Muhammed Abdullah yang merupakan pemohon dalam semakan tersebut.

Menurut semakan kehakiman itu, Mubarak, Maarof, Abd. Rahim dan Muhammed menamakan Menteri Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri selaku responden dalam permohonan tersebut.

Pada 6 Ogos lalu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan dan Setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Turut memohon sebagai pencelah ialah Undang Sungai Ujong dan Undang Rembau.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam peguam Steven Thiru yang mewakili DKU dan Raja Norazli ketika ditemui media selepas pengurusan kes itu di kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Norliza Othman.

Pada prosiding sebelum ini, hakim tersebut meminta pihak pemohon (dalam semakan kehakiman) untuk menentukan sama ada ingin memindahkan kes ke Seremban memandangkan terdapat permohonan serupa di sana.

Menurut peguam itu, Jabatan Peguam Negara tidak membantah terhadap permohonan penarikan balik tersebut namun pihak pencelah memohon agar kos dikenakan terhadap pemohon kerana tindakan tersebut menunjukkan bahawa semakan tersebut tidak mempunyai sebarang merit.

Tambahnya, tindakan memfailkan semakan kehakiman itu di Kuala Lumpur adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah lebih-lebih lagi apabila kesemua pemohon tidak pernah mendedahkan bahawa terdapat satu permohonan serupa yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Seremban.

Thiru kemudian memaklumkan mahkamah memerintahkan kesemua pemohon membayar kos sebanyak RM40,000 kepada semua pencelah. Penarikan balik semakan itu dibenarkan tanpa kebebasan untuk difailkan semula.

Menurut semakan kehakiman itu, Mubarak, Maarof, Abd. Rahim dan Muhammed antara lain memohon relif yang dimohon ialah perintah mandamus untuk memaksa Menteri Besar menandatangani satu dokumen pemasyhuran yang didakwa bertujuan menyingkirkan Tuanku Muhriz dan seterusnya mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Pemohon turut memohon deklarasi bahawa dokumen pemasyhuran yang ditandatangani oleh mereka pada 19 April lalu adalah sah di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan memohon kos atas alasan bahawa penarikan balik JR tersebut menunjukkan bahawa permohonan itu tidak mempunyai merit.

Sementara itu, permohonan mencelah itu dibuat atas alasan antaranya Mubarak, Maarof, Abd. Rahim dan Muhammed tidak mempunyai sebarang locus standi (hak di sini undang-undang) untuk memfailkan semakan kehakiman itu dan terdapat permohonan komital terhadap mereka di Mahkamah Tinggi Seremban.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN