SHAH ALAM: Pelakon, Tracie Sinidol, berkata dia mengamalkan tradisi untuk memberikan kek kepada ibunya di kampung semasa meraikan ulang tahun kelahiran dirinya sendiri sejak lima tahun lalu.
Tracie, 25, menyifatkan tarikh kelahirannya merupakan simbolik bagi menghargai pengorbanan ibu yang melahirkan dan membesarkannya sehingga hari ini.
“Setiap kali hari lahir, saya akan pastikan ada kek untuk mak saya. Saya mula buat tradisi ini sejak tahun 2019 atau 2020 lagi.
“Walaupun saya berada di Kuala Lumpur, saya akan tempah secara dalam talian dan minta orang hantar ke rumah di Sabah.
“Bagi saya, hari lahir kita bukan hanya tentang kita, tetapi tentang ibu juga. Pada tarikh itulah dia bertarung nyawa dan berjuang untuk melahirkan kita ke dunia. Jadi, saya mahu raikan dia sebagai tanda peringatan terhadap segala pengorbanannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas mengenai perasaannya menjejaki usia 25 tahun minggu lalu, Tracie mengakui perspektifnya terhadap sambutan hari lahir kini sudah berubah berbanding dahulu.
Ujarnya, dia kini lebih menghargai kualiti masa dan doa daripada orang sekeliling berbanding hadiah bersifat material.
“Masa kecil dulu mungkin kita harapkan sambutan yang gah atau hadiah yang besar. Namun bila makin matang, saya rasa ucapan, doa dan masa yang orang luangkan untuk saya itu sudah lebih daripada cukup.
“Saya sangat bersyukur kerana masih ramai yang ingat dan mendoakan, terutamanya kelab peminat saya, Treystar, yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya sejak usia 21 tahun lagi,” jelasnya.
Dalam pada itu, pelakon Malaikat Malam ini turut memasang impian untuk menjadi insan yang lebih baik dan fokus kepada perkembangan diri dalam industri seni.
“Tahun ini saya mahu sesuatu yang lebih stabil dan ‘secure’. Saya mahu fokus pada diri sendiri, cuba berkembang menjadi manusia yang lebih baik dan melakukan perkara yang benar-benar membuatkan saya rasa ‘hidup’.
“Ia bukan sahaja penting untuk kerjaya, tetapi untuk jiwa saya juga,” katanya.











