PETALING JAYA: Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSiraj) mencatat peningkatan ketara kadar kebolehpasaran graduan (GE) daripada 50 peratus pada 2017 kepada 94.1 peratus pada 2024, iaitu lonjakan sebanyak 44.1 peratus.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pencapaian 94.1 peratus itu merupakan kadar kebolehpasaran graduan tertinggi yang pernah direkodkan UniSiraj sepanjang tempoh berkenaan.
Baginda bertitah, pencapaian tersebut turut memperlihatkan trend positif yang konsisten apabila kadar kebolehpasaran graduan UniSiraj berjaya dikekalkan melebihi 90 peratus selama tiga tahun berturut-turut, iaitu 92 peratus pada 2022; 92.5 peratus pada 2023 dan 94.1 peratus pada 2024.
“Pencapaian ini menunjukkan peningkatan kebolehpasaran graduan UniSiraj yang dimiliki Majlis Agama Islam Dan Adat IStiadat Melayu Perlis (MAIPs) bukan bersifat sementara, sebaliknya mencerminkan trend yang semakin kukuh dan berterusan.
“Lebih penting, UniSiraj bukan sahaja melahirkan graduan yang memiliki kelayakan akademik, tetapi turut mempunyai nilai pasaran, kebolehsuaian serta keupayaan memenuhi keperluan semasa majikan,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UniSiraj dan Silk Road International University of Tourism and Cultural Heritage di Samarkand, Uzbekistan.
MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UniSiraj, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle manakala Silk Road International University of Tourism and Cultural Heritage diwakili Timbalan Rektor Pertama Hal Ehwal Pentadbirannya, Prof. Dilmurod Nasimov.-UTUSAN











