Perluaskan skim RTO, pastikan rakyat miliki rumah sendiri

Perluaskan skim RTO, pastikan rakyat miliki rumah sendiri

ISKANDAR ABDUL SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa memperluaskan pelaksanaan skim sewa beli atau sewa milik (RTO) ke seluruh negara sebagai salah satu agenda utama perumahan dalam Belanjawan 2027.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (Reach), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, dana khusus perlu disediakan bagi memastikan skim itu direalisasikan, dengan tidak mengehadkan kepada beberapa projek tertentu sahaja.

Menurutnya, antara model yang boleh dipertimbangkan adalah dengan kerajaan atau agensi perumahan dilantik membeli rumah mampu milik daripada pemaju pada harga yang dipersetujui sebelum ditawarkan kepada rakyat melalui RTO.

“Rumah tersebut kemudiannya ditawarkan kepada rakyat melalui skim sewa milik dengan bayaran bulanan untuk satu tempoh tertentu sehingga pemilikan dipindahkan kepada peserta.

“Namun, pemilihan projek mestilah berdasarkan keperluan sebenar rakyat, lokasi yang sesuai, harga yang berpatutan dan kualiti rumah. Skim ini tidak seharusnya dijadikan semata-mata sebagai jalan keluar kepada pemaju untuk menjual unit-unit yang tidak mendapat sambutan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Iskandar turut menyarankan pendekatan lain antaranya kerajaan bertindak sebagai penjamin pembiayaan kepada pembeli yang mempunyai kemampuan bayaran bulanan tetapi gagal melepasi syarat pinjaman bank konvensional.

Katanya, mekanisme seumpama itu telah dilaksanakan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang diperkukuh dalam Belanjawan 2026 bagi membantu pembeli rumah pertama, termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Matlamat utama dasar perumahan negara tidak sepatutnya sekadar memfokuskan kepada jumlah pembinaan rumah, sebaliknya memastikan golongan berkeperluan benar-benar mampu memilikinya.

“Jika seseorang mampu membayar sewa setiap bulan selama 10 atau 20 tahun, kerajaan perlu mencari mekanisme supaya bayaran bulanan itu akhirnya membawa kepada pemilikan sebuah rumah dan bukan sekadar membayar sewa sepanjang hayat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN