Waze beroperasi bawah entiti Israel perlu disekat di negara ini

Waze beroperasi bawah entiti Israel perlu disekat di negara ini

SIRAJ JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gesaan supaya penggunaan aplikasi navigasi Waze di negara ini perlu diteliti dan dipertimbangkan untuk dikenakan sekatan selepas dikesan masih beroperasi di bawah entiti syarikat yang berpusat di Israel. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA)  Siraj Jalil berkata, gesaan tersebut dibuat selepas terdapat penelitian terhadap terma penggunaan aplikasi berkenaan yang dikemas kini pada 8 Julai lalu.

Katanya, terma terkini itu menyatakan perkhidmatan Waze disediakan dan dibekalkan oleh Waze Mobile Ltd., iaitu sebuah syarikat yang diperbadankan serta beroperasi di bawah undang-undang Israel dan beralamat di Tel Aviv.

“Terma tersebut turut menetapkan bahawa penggunaan perkhidmatan Waze tertakluk kepada undang-undang Israel. Sebarang pertikaian berkaitan terma dan perkhidmatan pula berada di bawah bidang kuasa eksklusif mahkamah di Tel Aviv, Israel.

“MCCA mengambil maklum Waze telah diambil alih oleh Google pada tahun 2013, namun Terma Penggunaan dan Polisi Privasi terkini masih menamakan Waze Mobile Ltd. yang berpengkalan di Israel sebagai pihak bertanggungjawab terhadap perkhidmatan dan data pengguna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siraj berkata, hasil dapatan tersebut menimbulkan keresahan yang amat serius kerana ia bercanggah secara jelas dengan dasar ketat Malaysia terhadap negara haram berkenaan.

Jelasnya, Malaysia sejak sekian lama menetapkan pendirian tegas untuk tidak mengiktiraf kewujudan Israel serta tidak mempunyai hubungan diplomatik mahupun hubungan ekonomi secara langsung dengannya.

“Pendirian ini selari dengan kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini yang menegaskan tiada hubungan perdagangan terus dijalankan bersama Israel.

“Malah, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan sebelum ini turut mengulangi bahawa pendirian tidak mengiktiraf Israel merupakan dasar kekal negara sejak sekian lama,” ujarnya.

Menurut Siraj lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini juga telah menyatakan dengan jelas bahawa Malaysia tidak  sesekali berganjak daripada pendirian berkenaan walaupun ia melibatkan isu perdagangan.

Justeru pihaknya  mendesak agar kerajaan mengambil tindakan sewajarnya demi memastikan kedaulatan serta dasar luar negara terus dihormati dan dipelihara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN