Kerajaan lancar panduan hak asasi untuk perniagaan 

Kerajaan lancar panduan hak asasi untuk perniagaan 

KUALA LUMPUR, 07 Oktober 2026 - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (kiri) ketika merasmikan Persidangan Kebangsaan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia 2026 di Pusat Kecemerlangan Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) di sini, hari ini. Turut serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran (dua kanan) dan Wakil Residen Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, Edward Vrkic (kanan) -UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan Panduan Usaha Wajar Hak Asasi Manusia (HRDD) untuk Perniagaan di Malaysia sebagai langkah memastikan penghormatan terhadap hak asasi menjadi sebahagian daripada cara perniagaan beroperasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, panduan itu menyediakan proses praktikal kepada syarikat untuk mengenal pasti, mencegah, mengurangkan dan menangani kesan buruk terhadap hak asasi manusia yang timbul daripada operasi dan hubungan perniagaan mereka.

Katanya, panduan itu menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan berpadanan dengan keupayaan syarikat kerana sebuah syarikat multinasional dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak mempunyai sumber, struktur atau pendedahan risiko yang sama.

“Saya menggalakkan perniagaan daripada syarikat terbesar hingga PKS, menggunakan panduan ini bukan sekadar sebagai dokumen pematuhan. 

“Jadikan ia alat pengurusan dan alat membuat keputusan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kebangsaan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia 2026 di Pusat Kecemerlangan AICB di sini, hari ini.

Azalina berkata, setahun selepas Pelan Tindakan Kebangsaan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025–2030 dilancarkan pada 12 Ogos 2025, kerajaan kini berada pada fasa menilai apa yang telah dilaksanakan dan dipelajari.

“NAPBHR berteraskan tiga bidang keutamaan iaitu tadbir urus, buruh dan alam sekitar dengan sokongan 135 tindakan strategik. Sebanyak 11 Tindakan Segera dikenal pasti untuk dimulakan dalam tahun pertama pelaksanaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan yang disokong tiga jawatankuasa teknikal dan diselaraskan melalui Kumpulan Kerja Perniagaan dan Hak Asasi Manusia. 

“Jawatankuasa Pemantauan, Penilaian, Latihan dan Pembelajaran Pelbagai Pihak Berkepentingan (METL) turut ditubuhkan dengan menghimpunkan pakar industri, masyarakat sivil dan akademik,” katanya.

Azalina berkata, objektif kerajaan bukan mewujudkan peraturan atau pematuhan semata-mata sebaliknya mahu penghormatan hak asasi menjadi sebahagian daripada cara perniagaan yang baik beroperasi. 

Jelasnya, amalan perniagaan bertanggungjawab tidak seharusnya dilihat sebagai kos kerana ia mengukuhkan kepercayaan, daya tahan dan reputasi serta menyumbang kepada ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing.

Sementara itu, Azalina berkata, sepanjang tahun lalu, kerajaan turut menganjurkan dan menyertai program kesedaran serta libat urus pihak berkepentingan di Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak yang menyentuh isu tingkah laku perniagaan bertanggungjawab, tuntutan undang-undang strategik menentang penyertaan awam (SLAPP) serta isu Orang Asal dan komuniti yang terkesan oleh aktiviti perniagaan dan pembangunan.

Tambah Azalina, menjelang 2030, kejayaan pelan itu tidak diukur menerusi bilangan mesyuarat atau laporan yang dihasilkan tetapi perubahan bermakna kepada pekerja, komuniti, perniagaan dan rakyat.

“Perniagaan dan hak asasi manusia bukan soal memilih antara pertumbuhan ekonomi dengan maruah manusia. Ekonomi moden mesti mampu menyediakan kedua-duanya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN