Rakyat wajar tahu siapa calon PM jika BN-Pas menang PRU16 – Penganalisis

Rakyat wajar tahu siapa calon PM jika BN-Pas menang PRU16 – Penganalisis

KEJAYAAN parti-parti politik Melayu dalam pilihan raya amat bergantung kepada persefahaman dan kerjasama utuh pemimpin-pemimpin Melayu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rakyat wajar tahu siapa bakal jadi Perdana Menteri (PM) sebelum Parlimen dibubarkan, bukan selepas rundingan tertutup jika gabungan BN dan Pas berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), dari sudut akauntabiliti.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar berkata, gabungan itu tidak semestinya menamakan calon PM sekarang, tetapi selewat-lewatnya sebelum Parlimen dibubarkan perlu ada nama memandangkan penggal ini tamat pada Disember 2027.

Beliau berkata, kalau pun belum boleh sepakat tentang nama calon PM itu, sekurang-kurangnya mereka megumumkan formula, contohnya parti yang menang kerusi terbanyak menamakan PM.

“Kalau tidak (menamakan calon PM), pengundi macam diminta tandatangan cek kosong,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar berkata, pihaknya menggesa Pas menyatakan pendirian sama ada bersedia menerima Presiden Umno Zahid Hamidi sebagai perdana menteri jika Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan selepas PRU16.

Mahfuz Omar membangkitkan persoalan itu susulan ramalan penganalisis politik Ong Kian Ming bahawa Zahid berpotensi mendapat sokongan Sabah dan Sarawak untuk menjadi perdana menteri jika BN dan PAS atau PN membentuk kerajaan selepas PRU akan datang.

Bagaimanapun, Dr. Rusdi berkata, jika mengikut Perlembagaan Persekutuan, sebenarnya tidak ada kewajipan pun mana-mana parti menamakan calon PM sebelum pilihan raya sebagaimana tertakluk kepada Perkara 43(2)(a) iaitu Agong melantik Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda dapat kepercayaan majoriti.

Beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan untuk parti gabungan menamakan calon PM iaitu pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada PRU15 pula, katanya, semua gabungan ada ‘poster boy’ seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kita pun sudah rasa sendiri pada 2022, bila tidak ada gabungan cukup 112 kerusi, keadaan jadi tak menentu.

“Untuk BN dan Pas, saya nampak tiga perkara, pertama, mereka dalam dilema. Kalau namakan terlalu awal, kerjasama yang belum muktamad boleh retak. Tengok saja bila Bersatu namakan Muhyiddin sebagai calon PM ke-11, pemimpin Pas sendiri kurang senang.

“Tetapi kalau terus berdiam, lawan akan terus serang isu ini. Pas sendiri pernah kata mereka ada calon PM sendiri,” katanya.

Beliau berkata, berkenaan isu kes mahkamah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dari segi undang-undang, beliau tidak pernah disabitkan dan beliau mendapat melepas tanpa membebaskan (DNAA) untuk 47 pertuduhan kes Yayasan Akalbudi pada September 2023, dan Pejabat Peguam Negara (AGC) putuskan tiada tindakan lanjut (NFA) pada 8 Januari 2026.

“Cuma keputusan itu masih dicabar Badan Peguam di mahkamah. Jadi isunya bukan undang-undang, tapi persepsi dan integriti, dan itu boleh jejaskan sokongan pengundi atas pagar serta akar umbi Pas,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, parti gabungan Sabah dan Sarawak perlu diambil perhatian kerana mereka memegang 56 daripada 222 kerusi, atau lebih kurang 25 peratus.

Jadi, katanya, jika calon PM yang blok Borneo tidak boleh terima, ia memang susah untuk membentuk kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN