PETALING JAYA: Polis mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Laos berhubung rampasan 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine daripada sebuah jet peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, Laos.
Penahanan itu dibuat selepas 13 individu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan turut ditahan pihak berkuasa Laos.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih belum menerima maklumat terperinci daripada pihak berkuasa Laos berhubung kes berkenaan.
“Setakat ini, kita belum terima maklumat ataupun butiran daripada pihak berkuasa dadah Laos. Maklumat yang kita ada sekarang, seorang daripada 13 individu ditahan membabitkan seorang warga Malaysia.
“Bagaimanapun, dia bukan individu yang menaiki penerbangan dari Subang ke sana,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati penerbangan menggunakan jet peribadi dari Subang ke Laos namun pesawat itu diterbangkan juruterbang dan pembantu juruterbang yang bukan warganegara Malaysia.
Hussein berkata, siasatan masih berjalan sama ada kes itu mempunyai kaitan dengan kes juruterbang yang ditahan di Indonesia sebelum ini.
“Dalam siasatan. Terlalu awal untuk kita katakan sama ada ada kaitan atau tidak,” jelasnya.
Terdahulu, Polis Laos merampas 521kg dadah jenis crystal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang.
Laporam Vientiane Times yang memetik Lao Security Newspaper hari ini berkata, operasi keselamatan dijalankan pada 1 Oktober lalu susulan maklumat diterima polis wilayah pada 21 September mengenai sindiket pengedaran dadah yang dipercayai merancang menyeludup narkotik merentasi sempadan melalui udara menggunakan pesawat peribadi.
Menurut laporan itu, polis kemudian menerima maklumat mengenai perubahan jadual penerbangan dan pesawat peribadi berkenaan dijadualkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada pukul 1.30 tengah hari, 1 Oktober lalu.
Dalam operasi itu, polis menahan 13 individu termasuk juruterbang, pembantu juruterbang, pelancong asing, tiga pekerja syarikat serta tujuh pekerja Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang. – UTUSAN











