LONDON: Sebuah penerbangan British Airways menuju Chicago mengisytiharkan kecemasan selepas pesawat itu semalam melakukan penurunan mendadak dan curam ketika terbang di ruang udara Ireland.
Penerbangan BA295, pesawat Boeing 777-200ER dari Heathrow, London ke Chicago, berlepas kira-kira jam 12.14 tengah hari waktu tempatan bagi penerbangan transatlantik yang dijadualkan.
Pesawat itu mencapai ketinggian kira-kira 11,277 meter (m) pada awal penerbangan sebelum secara tidak dijangka mula menurun dengan pantas.
Pihak syarikat penerbangan memaklumkan bahawa pesawat itu mengalami masalah teknikal yang memaksanya berpatah balik menuju ke United Kingdom (UK).
Berdasarkan data pemantauan penerbangan, pesawat berkenaan akhirnya selamat mendarat semula di Heathrow selepas pukul 5 petang waktu tempatan selepas melencongkan laluan dan berlegar beberapa kali di ruang udara Selat Bristol.
Data penerbangan menunjukkan bahawa ketinggian pesawat jarak jauh itu telah merosot sebanyak kira-kira 8,534m sekali gus mencecah paras ketinggian sekitar 2,743m dalam tempoh beberapa minit sahaja.
Susulan kejadian itu, anak kapal telah memancarkan kod kecemasan 7700 iaitu kod transponder antarabangsa yang digunakan oleh juruterbang bagi memaklumkan pihak kawalan trafik udara berhubung situasi kecemasan umum.
“Keselamatan pelanggan dan anak kapal sentiasa menjadi keutamaan tertinggi kami dan pesawat telah mendarat dengan selamat selepas juruterbang kami yang terlatih mengambil keputusan untuk kembali ke Heathrow berikutan masalah teknikal.
“Para pelanggan telah keluar dari pesawat seperti biasa dan pasukan kami sedang berusaha untuk memastikan perancangan perjalanan mereka dapat diteruskan secepat mungkin,” kata jurucakap BA.
Punca sebenar kejadian kecemasan berkenaan bagaimanapun masih belum disahkan.
Penerbangan BA295 sepatutnya melengkapkan perjalanan selama kira-kira lapan jam 40 minit dari London ke Chicago.
Pesawat Boeing 777-200ER yang terlibat dianggarkan berusia kira-kira 30 tahun dan merupakan salah satu armada penerbangan jarak jauh milik BA. – AGENSI











